MOSCOW - Sebuah klip berdurasi 40 saat bersama ketua pasukan askar upahan, Wagner mendedahkan pengakuan yang memberi bayangan beliau seperti sudah tahu nyawanya terancam.
"Saya sanggup dibunuh daripada berbohong kepada negara,” kata Yevgeny Prigozhin menerusi satu wawancara yang turut menjadi topik hangat diperkatakan pengguna media sosial pada Ahad.
Ramai pihak mula membuat andaian dan teori tentang punca sebenar kematian bos Wagner tersebut setelah Barat mendakwa beliau mungkin dibunuh.
Menerusi temu bual bersama penulis blog tentera, Semyon Pegov diterbitkan pada 29 April lalu, Prigozhin memberitahu Moscow berada di ambang bencana kerana kewujudan ‘puak jahat’ dalam kepimpinan tertinggi tentera yang cuba menyembunyikan kebenaran.
"Keadaan sudah semakin tegang. Kenapa saya bercakap jujur tentang hal ini? Saya tidak mempunyai hak untuk mendedahkan perkara sebenar. Lebih baik bunuh sahaja saya,” ujarnya.
Beliau turut memberi bayangan tentang nahas pesawat yang mungkin akan meragut nyawanya atas kelantangan mendedahkan kepincangan tersebut.
Pendedahan itu mendapat ratusan respons dalam tempoh beberapa jam sejak ia dimuat naik di The Grayzone.
"Beliau sudah tahu nasib yang bakal menimpanya,” kata seorang pengguna aplikasi Telegram.
Terdapat juga pengguna media sosial yang membuat spekulasi dengan mendakwa Prigozhin sebenarnya masih hidup dan sedang menyembunyikan diri daripada pihak musuh.
Selain itu, ada juga pihak mengaitkan nahas tersebut dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan negara Barat lain seperti Perancis serta Ukraine.
"Cef Putin itu telah dibunuh di bawah arahan Amerika Syarikat (AS) dan amat menyedihkan kerana kehilangan wira sepertinya,” ujar seorang lagi pengguna media sosial.
Kira-kira empat hari selepas insiden tersebut, penyiasat Rusia akhirnya mengesahkan kematian Prigozhin berdasarkan laporan analisis genetik.
"Pemeriksaan genetik molekul telah selesai sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kemalangan udara di wilayah Tver,” kata jurucakap Jawatankuasa Siasatan Rusia, Svetlana Petrenko.
Menurutnya, identiti kesemua 10 mangsa sudah dikenal pasti.
"Ia sepadan dengan senarai asal penumpang,” ujarnya.
Tambah beliau, salah seorang daripada sembilan korban nahas jet peribadi Embraer yang terhempas pada Rabu lalu ialah Dmitry Utkin yang merupakan seorang ‘tokoh gelap’ yang menguruskan operasi Wagner dan berkhidmat dalam risikan tentera Rusia.
Pada Jumaat lalu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menyifatkan nahas itu sebagai insiden tragis dan turut menolak khabar angin mendakwa ia mungkin ada kaitan dengan perbuatan khianat.
Putin menggelar Prigozhin sebagai sekutu paling taat sejak awal 1990-an, namun kenyataan ‘agak tenang’ beliau telah mencetuskan lebih banyak persoalan tentang kematian misteri tersebut.
Ketika ini tugu peringatan sementara didirikan di bandar seluruh negara sebagai memperingati jasa dan sumbangannya.
"Beliau sememangnya dibunuh musuhnya. Kami enggan menuduh sesiapa. Laporan siasatan akan membongkar segala kebenaran.
"Pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah ini wajar diheret ke muka pengadilan,” kata seorang penduduk di Moscow. - AFP
-- INFO
- Prigozhin berasal daripada latar belakang sederhana dari Saint Petersburg sebelum menjadi lingkungan rapat Putin.
- Beliau merupakan bekas penjual sosej selepas meringkuk di dalam penjara selama hampir sedekad ketika era Kesatuan Soviet pada 1990-an.
- Selepas dibebaskan, beliau terlibat dalam bidang restoran hingga mendapat julukan 'cef Putin'.
- Pada September 2022, Prigozhin akhirnya mendedahkan tentang kewujudan askar upahan Wagner selepas mengunci mulut tentang perkara itu selama bertahun-tahun.
- Prigozhin pernah digelar sebagai bilionair dengan nilai kekayaan dibina daripada kontrak negara. Namun, butiran tentang jumlah kekayaan sebenar beliau tidak diketahui umum.
- Dikenakan sekatan oleh AS kerana didakwa campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2016. Pada 2020, beliau menuntut ganti rugi berjumlah AS$50 bilion (RM232 bilion) dari Washington.
- Pada Julai 2018, tiga wartawan yang membuat siasatan tentang operasi Wagner di Republik Afrika Tengah dilaporkan terbunuh dalam insiden serangan hendap.
- Rampasan kuasa singkat dilancarkan Prigozhin, dua bulan lalu adalah sebagai tindak balas terhadap tindakan kepimpinan tentera Rusia yang didakwa cuba 'menghapuskan' pasukan Wagner.
Namun, Kremlin melihat perbuatannya sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada negara dan beliau 'dibuang' ke Belarus.
Klik di sini untuk terus membaca