Apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan, fokus angkatan tentera negara tersebut akan beralih arah kepada bagaimana ia bakal terus mampu mempertahankan kemerdekaan apabila diancam kuasa ketenteraan luar. Menjajah sebuah negara di era... Klik di sini untuk terus membaca

Apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan, fokus angkatan tentera negara tersebut akan beralih arah kepada bagaimana ia bakal terus mampu mempertahankan kemerdekaan apabila diancam kuasa ketenteraan luar.

Menjajah sebuah negara di era moden adalah hampir mustahil atau amat sukar walaupun oleh sebuah kuasa besar dunia terhadap sebuah negara kerdil dan miskin. Iraq dan Afghanistan contoh terbaik.

Jika gagal menjajah, strategi memporak-perandakan dan memusnahkan infrastruktur sesebuah negara kadangkala menjadi objektif. Situasi yang berlaku di Ukraine membuktikan perkara tersebut.

Bagaimana menangani ancaman ketenteraan ke atas negara, sama ada bagi tujuan penjajahan, amaran mahupun ugutan tentunya menjadi tanggungjawab pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Strategi pertahanan secara am telah ditetapkan dan terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan.

Apabila ancaman hakiki berada di sempadan darat, pesisir pantai atau ruang udara, pada waktu dan ketika itu Kertas Putih Pertahanan tidak lagi boleh dianggap sebagai penentu kepada menang atau kalahnya ATM di medan tempur.

Ia kerana syor dan langkah-langkah tertera dalam dokumen tersebut sepatutnya dilaksanakan ketika aman. Jika dalam tempoh waktu itu ia gagal direalisasikan dan musuh telah mengetuk pintu sempadan negara, ia sudah terlambat. Nasib rakyat dan kedaulatan negara akan bergantung di hujung senjata ATM.

Tentunya sebagai sebuah negara maritim, Semenanjung dikelilingi laut. Ia bentuk topografi yang sukar untuk dipertahankan kerana pantai di sepanjang bahagian barat dan timur negara memberikan musuh peluang terbuka melakukan pendaratan amfibia.

Penelitian topografi, kedudukan garis pertahanan dan strategi diguna pakai untuk mempertahankan Semenanjung tentunya bakal diteliti mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan serta keperluan melancarkan operasi ketenteraan ke atas Malaysia pada masa depan.

ATM boleh mengambil iktibar daripada pertembungan di medan tempur antara tentera Jepun dan British sewaktu Perang Dunia Kedua di Malaya. Walaupun dalam konflik tersebut, juzuk tertentu seperti kelengkapan perang siber dan satelit belum diguna pakai, pengajaran masih boleh diambil.

Misalnya, sebelum Jepun menyerang Malaya, ia telah menubuhkan sebuah unit yang diketuai oleh Kolonel Toshiro Hayashi bagi mengkaji apakah diperlukan dan bagaimana melaksanakan taktik perang di kawasan tropika.

Unit dikenali sebagai Seksyen Penyelidikan Tentera Darat berpusat di Taiwan itu mengkaji faktor geografi, cuaca dan struktur unit, malah kepelbagaian etnik serta membangunkan jenis latihan diperlukan dan mengesahkan pelan terbaik bagi mencapai kemenangan di medan tempur.

Hayashi telah mengadakan latihan bersama elemen daripada Divisyen ke-5 tentera darat dan Grup ke-5 tentera udara dari Manchuria bagi menguji kemampuan atur gerak angkatan serta keberkesanan sistem komunikasi.

Dalam satu latihan, batalion infantri telah didaratkan di pulau Hainan dan dikerah mara mengelilingi pulau tersebut yang mempunyai jarak 960 kilometer iaitu jarak hampir sama dari sempadan Thailand hingga ke Singapura.

Ia adalah simulasi bagaimana mereka akan bergerak untuk menawan apa yang dianggap British sebagai kubu kebal mereka di Singapura. Batalion itu memusnahkan dan memperbaiki jambatan, berlatih melakukan serangan serta pelbagai simulasi lain.

Jepun juga telah mengenal pasti tidak kurang 250 jambatan kritikal perlu mereka tawan di Malaya sebelum ia dimusnahkan pertahanan British atau jika gagal, membina semula jambatan dalam tempoh singkat agar kemaraan mereka dapat diteruskan tanpa henti.

Organisasi yang dihasilkan daripada simulasi dan ujian itu membentuk sebuah angkatan bersama berpaksikan pasukan infantri serta disokong unit artileri, kereta kebal dan jurutera.

Kewujudan unit jurutera yang mara bersama pasukan infantri membolehkan kesinambungan mobiliti tinggi kepada kereta kebal serta unit artileri apabila berdepan kemusnahan infrastruktur seperti jambatan, selain mampu membina laluan alternatif.

Hasil kajian itulah membentuk Ketumbukan ke-25 tentera darat Jepun di bawah pemerintahan Jeneral Tomoyuki Yamashita yang menang bergaya menumpaskan musuhnya di Malaya.

Kajian ilmiah dan latihan seperti itu perlu sentiasa dikekal serta ditingkatkan ATM agar kemampuan mempertahankan tanah air mampu dipikul apabila diuji secara hakiki. Ia perlu disesuaikan dengan inventori sedia ada walaupun mungkin berdepan pelbagai kekurangan.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca