Pernah terjadi pada pilihan raya umum tahun 1990, gambar seorang pemimpin pembangkang yang memakai tengkolok berlambang salib ketika melawat Sabah disiarkan secara meluas di media cetak dan diulang-ulang dalam berita televisyen. Berita ‘tengkolok salib’ dijadikan modal untuk membangkitkan ke-marahan orang Melayu. Ia disiar beberapa hari sebelum hari mengundi.
Setelah pilihan raya berlalu, baharu diketahui ia tidak ada kena mengena dengan agama Kristian. Ia hanya sekadar tengkolok masyarakat Kadazan yang begitulah rupa bentuknya.
Waktu itu begitulah cara ahli politik kita menyerang lawannya yang tak bermaya. Tatkala di satu pihak mereka menguasai media, satu lagi pihak hanya berharap kepada ceramah politik di pentas, musuh akan diserang bertalu-talu tanpa peluang membela diri.
Namun, politik ‘serang hendap’ seperti itu mungkin tidak lagi sesuai pada era hari ini. Dengan adanya pelbagai media sosial, media arus perdana tak lagi boleh sewenang-wenangnya mencipta naratif sedemikian.
Malah, kelihatannya kini orang tidak lagi peduli untuk membeli surat khabar atau menonton televisyen. Dengan hanya menguis telefon pintar di tangan, orang tak perlu menunggu lama untuk menilai kebenaran satu-satu maklumat.
Dahulu sekitar awal 1990-an dan sebelum itu, biasanya apabila kita membaca berita yang terbit di surat khabar, ia sebenarnya berita sudah pun basi. Ia adalah berita yang berlaku semalam dan hanya ‘baru’ ketika akhbar itu dicetak.
Kini, kita semua bukan sahaja tidak lagi berminat membaca berita tentang apa yang berlaku sehari atau dua hari lalu, malah kita juga berasakan peristiwa terjadi satu jam lalu sudah dianggap ketinggalan. Kita semua ternanti-nanti apa yang bakal terjadi kemudiannya. Begitulah cepatnya manusia berinteraksi dengan maklumat.
Serangan bertali arus tentang perlombongan nadir bumi di Kedah dan isu air di Kelantan kini diam setelah berakhirnya pilihan raya negeri (PRN). Ia seolah-olah bukan lagi isu sekarang dan mungkin hanya muncul setiap kali menjelang pilihan raya. Kedua-dua kes itu seperti serang hendap politik juga. Ia sepi selepas musuh diserang.
Kebetulan pula, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini dianggap hero politik baharu. Beliau menjadi fokus semua pihak. Untuk partinya, beliau boleh dipergunakan untuk menarik sokongan. Bagi lawannya, beliau digunakan untuk merosakkan imej partinya pula.
Malah, hal yang kecil pun dijadikan modal untuk berpolitik. Terbaharu, apabila video Menteri Besar Kedah yang kelihatannya telah ‘mengetuk’ kepala seorang pelajar dengan kertas telah menjadi tular. Beliau dikatakan sebagai biadab dan tak beradab.
Pada masa lalu, apabila membaca berita seperti itu, dengan mudah seseorang diberi label tertentu. Mungkin juga ramai yang terpesona. Tetapi realitinya, dalam dunia yang membolehkan orang menjawab semua serangan dengan cepat, kritikan seperti itu tidak membawa sebarang makna tanpa memahami konteksnya.
Di Kedah dan beberapa negeri di utara bagi sesetengah orang, ‘kasar’ itulah kemesraannya. Orang biasanya bertegur sapa dengan panggilan ‘hoi’ dan ‘hang’ tetapi ia dianggap biasa sahaja kerana orang juga membaca bahasa tubuh yang lain.
Ia sama seperti mencubit. Sesuai dengan konteksnya, ada cubit yang bersifat marah, ada bersifat sayang tetapi jika kaedah sama diguna di tempat lain, mungkin ia memberi maksud lain.
Jadi, memperbesarkan perkara kecil tanpa memahami konteksnya, mungkin tidak lagi sesuai untuk mencari modal politik dalam dunia hari ini.
Orang bukan sahaja mampu menangkisnya dengan mudah tetapi kadangkala ia menunjukkan kita pula yang naif mencari bahan-bahan untuk berpolitik.
Kini kita berdepan pula dengan pilihan raya kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram, Johor. Harapnya tiada lagi serang hendap yang tidak memberi manfaat.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca