SHAH ALAM - Kerajaan perlu memikirkan kaedah untuk mengurangkan kos belajar dan mengambil ujian memandu terlebih dahulu.
Pengasas Kelab Bunian Bikerz, Mohd Hasnurul Nizam Ibrahim berkata, cadangan itu lebih praktikal dilaksanakan daripada menaik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 kepada B secara automatik.
Katanya, tiada lesen memandu terus menjadi kesalahan tertinggi dalam kalangan penunggang motosikal di negara ini khususnya melibatkan golongan pelajar.
"Kos mengambil lesen memandu sekarang mahal menyebabkan ramai anak muda yang menunggang motosikal tanpa mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau tidak bersetuju lesen memandu B2 dinaik taraf kepada B secara automatik kerana pengendalian motor kuasa kecil dan motor kuasa tinggi sangat berbeza.
Sementara itu, pengasas Kelab Kingz Motorcycle Group Azulhairi Berkhanuddin berkata, cadangan kerajaan menaik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 kepada B secara automatik akan menggalakkan lebih ramai penunggang motosikal mendapatkan lesen.
Katanya, langkah itu juga akan memacu perkembangan industri permotoran di negara ini.
Azulhairi menambah, kebanyakan motosikal di bawah Kelas B2 ketika ini juga telah menggunakan sistem dengan reka bentuknya mirip motosikal B dan hanya berbeza dari segi saiz serta kuasa kuda.
"Jika dilihat dalam ujian pengambilan lesen B yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tiada pun segmen uji kelajuan kuasa kuda atau angkat motosikal.
"Jadi kalau kita kaji balik asas dan teknik latihan dan ujian bagi pengambilan lesen B2 dan B adalah lebih kurang sama sahaja,” ujarnya
Klik di sini untuk terus membaca