SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) diramal hanya boleh memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi iaitu melebihi 75 peratus. Penganalisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) diramal hanya boleh memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi iaitu melebihi 75 peratus.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, bagaimanapun peratusan mengundi pada 9 September depan dijangka rendah sekali gus mungkin memberi kelebihan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) untuk menang.

Katanya, peratusan keluar mengundi dijangka rendah berdasarkan pengalaman pilihan raya sebelum ini terutama dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu dan pilihan raya umum (PRU) pada 2018.

"Walaupun pengundi Melayu ramai di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai namun kita tidak boleh menolak bahawa pengundi bukan Melayu juga besar di kedua-dua kawasan itu lebih 40 peratus yang boleh mempengaruhi pola pengundian,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan tidak menolak kemungkinan PH hilang kerusi DUN Simpang Jeram jika terdapat peralihan sebanyak 70 hingga 80 peratus undi BN kepada PN pada PRK itu nanti.

"Peralihan undi pada PRK Simpang Jeram boleh berlaku jika undi BN pada PRN Johor (Mac 2022) sebanyak 6,062 ditambah undi PN (6,350) jadi 12,000...lebih banyak daripada PH dapat (8,749).

"70 peratus hingga 80 peratus peralihan undi BN ke PN sudah cukup (PH tewas di Simpang Jeram),” katanya menerusi program podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Sementara Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula dilaporkan akan bertemu dengan ketua-ketua UMNO cawangan di bahagian itu untuk memujuk mereka yang tidak mahu menyokong calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kaiat pada PRK Parlimen Pulai.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berpandangan, apa yang dimaksudkan Khairy adalah kesediaan pengundi tegar BN untuk keluar dan melakukan undi protes dengan memilih PN.

"Kenyataan yang dikeluarkan Nur Jazlan juga menandakan barangkali parti itu sudah menjangkakan boleh berlaku undi protes sebagaimana yang berlaku di keenam-enam buah negeri pada PRN lalu dan ia berbeza dengan kedudukan gelagat pola pengundian ketika Johor mengadakan PRN pada Mac 2022 dan PRU15.

"Jadi saya percaya strategi BN kini adalah untuk pastikan undi protes diminimumkan, tingkatkan pengundi bukan Melayu yang keluar mengundi dan juga memastikan pengundi atas pagar akan mengundi mengikut rasional dan bukan emosional,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca