Sekitar tahun 1990-an jenama telefon bimbit Nokia yang berasal dari Finland mendominasi pasaran dunia dengan model seperti Nokia 3310, 3650, 7610, N97 dan N-Gage yang amat popular. Lebih sedekad menikmati zaman kegemilangan, perlahan-lahan... Klik di sini untuk terus membaca

Sekitar tahun 1990-an jenama telefon bimbit Nokia yang berasal dari Finland mendominasi pasaran dunia dengan model seperti Nokia 3310, 3650, 7610, N97 dan N-Gage yang amat popular.

Lebih sedekad menikmati zaman kegemilangan, perlahan-lahan pengaruh jenama Nokia mula terhakis apabila terpaksa berdepan pesaing baharu dan kemajuan teknologi yang semakin canggih dan apabila menyedari apa yang berlaku, semuanya sudah agak terlambat.

Justeru, kegagalan mengadaptasi dengan perubahan semasa menyebabkan jenama Nokia akhirnya tenggelam malah percubaan membuat kemunculan semula ternyata tidak berhasil menarik minat pengguna telefon bimbit terutamanya generasi muda.

Menariknya, jika dikaitkan kisah telefon bimbit Nokia ini dengan landskap politik negara umpama menggambarkan situasi UMNO yang dilihat tidak beradaptasi dan membuat perubahan demi masa depan parti itu susulan prestasi merudum dan defisit sokongan dalam kalangan orang Melayu.

Sokongan Melayu terhadap UMNO mula menipis sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diikuti PRU15 dan seterusnya pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

UMNO merekodkan keputusan hambar dan mengecewakan di enam negeri terutamanya di Terengganu apabila gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pensyarah Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, tidak mustahil UMNO akan bergerak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada masa akan datang sekiranya terus enggan melakukan perubahan.

"Parti Melayu itu juga semakin kehilangan kuasa akibat bilangan kerusi Parlimen dan DUN yang terus berkurang. Saya tidak terkejut jika satu hari nanti UMNO mungkin bergerak sebagai NG0 sahaja,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Menurut Mohammad Tawfik, tidak akan berlaku sebarang bentuk perubahan dalam UMNO seperti yang digesa oleh pelbagai pihak kecuali Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

"UMNO perlu diselamatkan dengan pengunduran Ahmad Zahid sebagai presiden namun beliau boleh diberikan platform untuk terus berperanan dalam parti itu dengan kuasa terhad misalnya sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

"Keadaan ini akan membuka ruang kepada orang lain menjadi Presiden UMNO dan beliau juga boleh kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengekalkannya dalam kabinet,” jelasnya lagi.

NASIB MIRIP GOLKAR

Tambahnya, UMNO perlu peka dengan tuntutan perubahan sekiranya tidak mahu ditimpa nasib sama seperti Parti Golongan Karya (Golkar) di Indonesia.

Sekitar tahun 1977 hingga 1997, Golkar merupakan parti popular yang merekod kemenangan besar dalam pilihan raya Indonesia namun akhirnya mengalami kejatuhan sehingga terpaksa bekerjasama dengan parti lain untuk terus berada dalam kerajaan.

"Perpecahan dalaman Golkar menyebabkan segelintir pemimpinnya meninggalkan parti dan menubuhkan parti politik lain seperti PKPI, Hanura dan Nasdem untuk menyaingi parti asalnya.

"Hal yang sama turut dialami oleh UMNO sehingga kekuatannya hari ini disedut oleh parti pesaingnya seperti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadikannya mirip Golkar di Indonesia,” ujarnya.

Kata beliau, ketika ini ahli Parlimen UMNO merupakan penyelamat dan penentu masa depan parti Melayu yang lahir pada tahun 1946 itu.

"Jelas terdapat ahli Parlimen UMNO yang tidak sekapal dengan Ahmad Zahid dan mereka inilah yang boleh menentukan masa depan parti dengan melakukan pengorbanan politik termasuk mengosongkan kerusi Parlimen masing masing.

"Ini mungkin harga yang perlu dibayar demi mendesak peletakan jawatan Ahmad Zahid agar parti akan terus diterajui oleh kepimpinan yang jujur dan ikhlas,” tegasnya.

DESAKAN UMNO BERUBAH

Bagaimanapun Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika dihubungi mempersoalkan mengapa UMNO sahaja yang didesak untuk melakukan perubahan dalam parti.

"Orang Melayu hanya mempunyai dua pilihan sama ada UMNO atau Pas tetapi mengapa hanya UMNO diminta berubah. Kenapa tidak minta Pas juga berubah sedangkan telah terbukti mana-mana pihak yang bekerjasama dengannya akhirnya gagal.

"Dan kalau orang UMNO sendiri menolak parti, adakah mereka akan memilih Pas yang struktur politiknya mirip cara kerajaan Islam di Iran, Perikatan Nasional (PN) pula saya anggap tidak wujud,” katanya.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, peletakan jawatan Ahmad Zahid tidak akan menjamin orang Melayu akan kembali ke pangkuan UMNO sepenuhnya.

Beliau juga berkata, tidak wajar Ahmad Zahid sahaja dipersalahkan atas prestasi buruk UMNO pada PRN lalu selain peralihan sokongan pengundi.

"Pada PRN Melaka dan Johor sebelum ini, UMNO dipimpin presiden sama yang berdepan kes undang-undang, namun apabila keputusannya cemerlang tidak timbul pula isu beliau jadi liabiliti parti.

"Kita sebenarnya telah membuat perubahan tetapi masih ramai tidak berpuas hati, jadi apa sebenarnya yang mereka mahu? Kita telah pulih semula dalam kerajaan pusat cumanya harus bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca