SHAH ALAM - Cadangan menaik taraf lesen Kelas B2 kepada B secara automatik diibaratkan seperti memberi ‘lesen’ kepada penunggung motosikal untuk membunuh diri.
Demikian perumpamaan yang diberikan Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar setelah meneliti cadangan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad.
Mat Aris menjelaskan, banyak perkara yang perlu dikaji dan diteliti termasuk implikasi keselamatan terhadap pengguna jalan raya lain selain sistem keselamatan jalan raya negara akan turut terkesan.
"Jadi cadangan ini saya anggap tidak cermat melibatkan banyak persoalan dalam industri serta kepada pakar-pakar bidang pengurusan keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Mat Aris menambah, naik taraf lesen B2 kepada B secara automatik juga boleh menyebabkan sistem pengambilan lesen kenderaan di negara ini dilihat mundur kerana ia membabitkan kompetensi seseorang penunggang.
Mengambil contoh sistem yang dipraktikkan di Singapura, katanya, agensi berkaitan pengangkutan di negara itu tidak akan membenarkan individu menunggang motosikal berkuasa tinggi sekiranya tidak memiliki lesen berkaitan.
"Pengalaman (menunggang) motosikal kuasa kecil dengan berkuasa tinggi berbeza dari segi teknologi, keupayaan mental, fizikal dan sebagainya.
"Kita bukan cerita untuk kegunaan di litar lumba, tetapi di jalan raya yang ada banyak ‘hazard’ (bahaya) yang boleh mengakibatkan kematian, kecacatan dan sebagainya,” katanya
Menurutnya, pihak berkuasa sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkatkan kemahiran melalui kurikulum pengendalian motosikal berkuasa tinggi supaya ia selamat untuk ditunggang di jalan raya.
"Ini kerana berdasarkan data, sebanyak 70 peratus daripada kes kemalangan jalan raya di negara ini melibatkan motosikal.
"Setiap 20 kes kematian akibat kemalangan jalan raya pula, hampir 13 orang adalah penunggang motosikal. Jadi apabila dibuat segmen seperti ini, dikira seperti tidak memikirkan kompetensi penunggang motosikal dan seolah-oleh memberi ‘lesen’ untuk bunuh diri pula,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca