SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk menaik taraf lesen B2 kepada B secara automatik adalah tidak wajar kerana dijangka boleh meningkatkan risiko kemalangan serta kematian kepada pengguna jalan raya.
Ahli Bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, kekurangan kemahiran dan latihan mengendalikan jentera berkuasa besar mengundang bahaya jika cadangan tersebut dilaksanakan.
Menurutnya, tujuan latihan dan ujian dibuat bagi membina tahap keyakinan penunggang dan juga tidak memudaratkan pengguna lain.
"Pengendalian jentera motosikal berkuasa besar memerlukan kemahiran dan jika lesen B2 dinaikkan ke B secara automatik, kita khuatir keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk diteliti terlebih dahulu.
Beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
Sementara itu, Tengku Marwan berkata, beliau baru saja berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman yang turut meramalkan jumlah kematian akibat kemalangan akan meningkat kalau cadangan itu diteruskan.
Menurutnya, kajian yang terperinci terhadap cadangan tersebut perlu diperhalusi bagi memastikan kadar kemalangan dan kematian boleh dikurangkan.
"Kerajaan perlu memperkasakan kaedah ujian lesen memandu dengan lebih baik seperti Singapura dan United Kingdom (UK) yang mempunyai waktu latihan yang lebih lama.
"Kalau di UK mereka hanya bermula dengan motosikal 50cc sahaja. Ia dipanggil lesen graduan,” katanya.
Tambah Marwan, beliau berharap kerajaan dapat mengutamakan keselamatan dan meneruskan kelas serta latihan untuk lesen B seperti sedia ada dan tidak memburukkan keadaan dengan menaik taraf lesen B2 ke B secara automatik.
Klik di sini untuk terus membaca