SHAH ALAM - Rakyat Malaysia disaran mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM35,000 pada usia 30 tahun untuk mencapai jumlah minimum wang yang diperlukan bagi menampung kehidupan selepas bersara. Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia disaran mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM35,000 pada usia 30 tahun untuk mencapai jumlah minimum wang yang diperlukan bagi menampung kehidupan selepas bersara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hanya 19 peratus daripada 446,000 ahli KWSP berumur 30 tahun mencapai sasaran RM35,000 dengan purata simpanan sebanyak RM78,000 seorang, setakat Jun 2023.

"Simpanan asas adalah satu jumlah dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi memperoleh simpanan minimum sekurang-kurangnya RM240,000 ketika berumur 55 tahun.

AMIR HAMZAH

"Jumlah ini memberikan pendapatan bulanan sebanyak RM1,000 sebulan bagi tempoh 20 tahun bermula daripada usia 55 sehingga 75 tahun, selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia.

"Secara keseluruhan, sejumlah 19 peratus daripada 13.3 juta ahli berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai kuantum simpanan asas mengikut umur. Manakala bagi ahli aktif (formal) pula, seramai 30 peratus berjaya memperoleh sasaran tersebut,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata, simpanan ahli mungkin di bawah paras kuantum simpanan asas mengikut umur disebabkan caruman ahli tidak konsisten, pengangguran sementara atau menerima gaji di bawah Perintah Gaji Minimum.

"Seseorang itu boleh mencapai kuantum simpanan asas mengikut umur sekiranya mula bekerja pada usia 18 tahun dengan gaji permulaan sebanyak RM1,500 atau mencarum secara konsisten berdasarkan kadar caruman berkanun iaitu 11 peratus syer pekerja dan 12 atau 13 peratus syer majikan,” katanya.

Sasaran itu juga jelasnya, boleh dicapai jika pencarum memperoleh dividen, kenaikan gaji tahunan dan tidak membuat sebarang pengeluaran dari Akaun 1.

"Selain itu, sekiranya ahli terus mencarum selepas umur 55 tahun, simpanan mereka akan meningkat dengan lebih cepat dan akan bertahan lebih lama,” katanya.

DISEMAK SETIAP TIGA TAHUN

Jelas Amir Hamzah, amaun kuantum simpanan asas akan disemak semula secara berkala setiap tiga tahun berdasarkan kadar pencen minimum pekerja sektor awam atau yang mana terdahulu.

"Kenaikan kuantum simpanan asas yang terakhir adalah pada tahun 2019.

Kenaikan kuantum simpanan asas yang terakhir ialah pada tahun 2019 sebanyak RM240,000 pada umur 55 tahun bagi memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000 sebulan sehingga 75 tahun.
Kenaikan kuantum simpanan asas yang terakhir ialah pada tahun 2019 sebanyak RM240,000 pada umur 55 tahun bagi memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000 sebulan sehingga 75 tahun.

"Terdapat beberapa amaun formal telah diperkenalkan menerusi pelaksanaan polisi oleh kerajaan yang boleh dijadikan penanda aras dalam penentuan amaun minimum termasuk Amaun Gaji Minimum, Belanjawanku, Gaji Kehidupan Wajar Malaysia dan Pendapatan Garis Kemiskinan.

"Berdasarkan panduan-panduan tersebut, kesemua kadar minimum adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar pencen minimum pekerja sektor awam seperti yang digunakan dalam simpanan asas,” katanya.

Amir Hamzah menegaskan, simpanan sebanyak RM35,000 dalam Akaun 1 pada umur 30 tahun adalah amaun paling minimum perlu diperoleh oleh ahli bagi menampung diri dan menyara keluarga sehingga berusia 75 tahun.

"Ahli KWSP dalam sektor swasta wajib mencarum ke dalam akaun persaraan mereka melalui potongan gaji bulanan.

"Walau bagaimanapun, ahli digalak untuk membuat caruman melebihi kadar caruman berkanun atau secara sukarela iaitu tidak melebihi RM100,000 setahun pada bila-bila masa bagi meningkatkan simpanan sebagai penggantian pendapatan semasa bersara,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ahli masih bekerja setelah mencapai umur 60 tahun dan tiada caruman syer pekerja dikenakan terhadap mereka, namun syer majikan adalah pada kadar empat peratus.

RIA Framework mengesyorkan amaun simpanan yang boleh membantu individu mempunyai taraf hidup yang selesa seperti kuantum simpanan dan pendapatan mencukupi.

SIMPANAN GANTI PENDAPATAN

Dalam pada itu katanya, pekerja juga digalakkan untuk mencarum di bawah Caruman Sukarela seperti i-Saraan, Caruman Pilihan Sendiri atau Caruman Penambahan Akaun 1 bagi meningkatkan simpanan penggantian pendapatan semasa bersara tertakluk kepada amaun maksimum sebanyak RM100,000 setahun.

"Bagi golongan yang tidak wajib mencarum seperti pekerja di sektor informal, bekerja sendiri, suri rumah dan pekerja asing juga digalakkan mencarum secara sukarela ke KWSP. Sekiranya pengeluaran penuh dianjakkan daripada umur 55 tahun kepada 60 tahun, simpanan ahli akan berganda sebanyak 28 peratus,” ujarnya.

Amir Hamzah berkata lagi, ahli KWSP disaran untuk meningkatkan simpanan melebihi amaun minimum bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan persaraan yang lebih selesa dan bermakna.

"Bagi mereka yang ingin mencapai simpanan persaraan untuk menampung keperluan asas, berpeluang membangunkan diri dan keluarga serta bebas daripada tekanan kewangan, Retirement Income Adequacy (RIA) Framework mengesyorkan amaun simpanan yang boleh membantu individu menentukan tahap simpanan selepas bersara.

"Di bawah konsep RIA Framework, amaun rujukan yang dijadikan asas dalam menggambarkan amaun minimum bagi menjalani kehidupan persaraan terbaik ialah Belanjawanku iaitu sebanyak RM2,520 sebulan, menggantikan pencen minimum pekerja sektor awam.

"Ini selaras dengan amaun perbelanjaan minimum bulanan untuk warga emas menjalani kehidupan yang baik sepanjang tempoh persaraan mereka,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca