ISU pengajaran modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi boleh dianggap selesai apabila MCA menyatakan mereka berpuas hati dengan rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas mendapat penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pertikaian timbul susulan perkataan ‘rintis’ seperti dilaporkan media dan membawa gambaran ia akan diperluaskan, selain sekolah agama.
Sebelum itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menolak pengajian Hadis 40 di sekolah dengan dakwaan ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana beranggapan modul itu akan melibatkan pelajar bukan Islam.
Tentangan itu mendapat reaksi pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Muslim seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Parti politik Muslim seperti Pemuda Perikatan Nasional (PN), Pemuda UMNO dan Lajnah Pendidikan Pas Pusat telah bersuara untuk mengingatkan pihak yang menentang agar tidak masuk campur hal ehwal tidak melibatkan pelajar bukan Islam.
Kita semua perlu sedar rasa curiga terhadap Islam memang sudah berakar di negara ini. Ia bermula apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam pentadbiran pada 1985.
Banyak pihak bimbang seolah-olah kerajaan waktu itu mahu menjadikan negara ini sebagai negara Islam.
Walhal, yang mahu diterapkan hanyalah 11 nilai murni seperti amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur.
Apabila nilai itu diteruskan dengan amalan Islam Hadhari oleh Perdana Menteri berikutnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, beberapa pihak menganggap dasar itu cuba menyekat kebebasan beragama.
Namun, tidak banyak pihak membantah apabila konsep Islam Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Barangkali ketika itu suasana tenang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membolehkan pihak-pihak bukan beragama Islam meneliti konsep tersebut dengan fikiran terbuka.
Iklim politik di negara ini sentiasa hangat kerana dikaitkan dengan nama Islam. Meningkatnya sokongan kepada PN, dengan Pas menjadi tunjangnya dilihat penuh curiga. Pas dianggap membawa Islam ekstrem.
Kemenangan PN dilihat sebagai gelombang hijau iaitu gelombang Islam. Padahal, Pas tidak banyak berubah dari segi kepimpinan yang memungkinkan ia menukar nada menjadi parti lebih ekstrem.
Namun, kerana kepentingan politik, naratif itu dimainkan sehingga mereka yang bukan Islam secara keseluruhannya menyokong DAP. Kerana politik, Islam dijadikan momok.
Islamophobia sudah menular di minda masyarakat bukan Islam dan selagi orang politik mendapat ruang bercakap, maka selagi itulah imej Islam menjadi mangsa.
Sebabnya, rata-rata orang politik Islam akan bercakap berdegar-degar apabila memperkatakan mengenai agamanya. Kata-kata bersemangat mereka ditafsirkan sebagai garang.
Perangai orang politik sememangnya begitu tetapi imej dan pendekatan dengan suara lantang menimbulkan rasa bimbang kepada mereka yang bukan Islam.
Kebimbangan itu tidak boleh dipadamkan oleh orang politik kerana maaf cakap, orang politik sukar dipercayai.
Ia persepsi umum. Justeru, pihak lain harus tampil dengan lebih aktif dalam memperkenalkan agama Islam agar ia tidak menjadi agama dibimbangi dan dicurigai.
Untuk itu, NGO agama bukan Melayu seperti Malaysia Chinese Muslim Association (Macma) dan Multi-Racial Reverted Muslims (MRM) perlu lebih aktif memperkenalkan Islam kepada bukan Islam.
Aktiviti yang sedang dilakukan masih tidak mencukupi.
Institusi masjid melalui ahli jawatankuasa masjid perlu menggembleng aktiviti konsisten ‘mesra Islam’ kerana masjid kita berada di tengah-tengah masyarakat pelbagai agama.
Apabila kita dicurigai setiap kali kita menyebut perkataan ‘Islam’, ia bermakna tindakan tabligh iaitu penyampaian kita belum menyeluruh.
Setelah 66 tahun merdeka pun, kita belum berjaya menormalisasikan agama yang mulia ini.
Malah, apabila disusur, ia kembali kepada diri kita sebagai seorang Islam. Pernahkah kita bercerita mengenai Islam kepada teman bukan Islam yang setiap hari kita temui?
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca