"HIDUP sekarang ini keras.”
Kita biasa mendengar frasa itu. Mungkin banyak kali. Ramai yang bersetuju dengannya tetapi saya tidak.
Frasa itu membawa maksud kehidupan sekarang lebih sukar berbanding dahulu. Kalau ia berbunyi ‘hidup sekarang ini keras, sama macam dahulu’, saya tidak teragak-agak menganggukkan kepala.
Bagi saya, hidup pada bila-bila masa pun sentiasa keras. Bentuk kerasnya itu mungkin berbeza dari zaman ke zaman, namun kerasnya tetap ada, tetap di situ.
Kita selalu beranggapan kehidupan manusia zaman dahulu lebih ‘lembut’ kerana mereka tidak perlu membayar bil, tidak perlu melunaskan ansuran bank, tidak berdepan kesesakan jalan raya, tidak perlu fikir tentang tender, duit kopi, kabel dan sebagainya.
Hendak rusa ada di hutan, hendak ikan ada di sungai, hendak sayur ada di belakang rumah.
Tidak perlu berkeluh-kesah tentang harga, tidak perlu mengadu kepada menteri, tidak perlu mendengar jaminan dan janji.
Kita lupa masa itu hidup terdedah pada bahaya.
Di hutan masih ada banyak binatang buas, di sungai masih banyak buaya dan di darat pula banyak lintah besar termasuk yang bergelar, yang boleh menyebabkan hidup berakhir sebagai hamba atau mati secara percuma.
Kita lupa kepayahan terpaksa mereka hadapi jika sakit atau ketika hendak ke mana-mana.
Kita lupa kesusahan perlu mereka lalui untuk mendapatkan segenggam beras atau sebuku garam. Jadi realitinya, kehidupan mereka tidaklah lebih baik daripada kita.
Tidak kira zaman mana pun kita hidup, ‘keras’ itu tetap ada. Jadi, tidak sesuailah jika mengatakan kehidupan sekarang ini keras.
Yang betulnya, saya lebih bersetuju dengan pandangan bijak pandai bahawa kehidupan kini bersifat VUCA, akronim daripada volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity atau dalam bahasa Melayu mengikut kata Pak Cik Google bererti turun naik, ketidakpastian, kerumitan, kekaburan.
Saya lebih suka merangkumkan semua itu dalam terma sendiri – kalut dan kelam-kabut. Itulah hakikat kehidupan sekarang dan membezakan kita daripada kehidupan zaman nenek moyang.
Walaupun mereka dan kita sama-sama mempunyai masa 24 jam sehari semalam, namun umumnya mereka menikmati masa lebih banyak berbanding kita. Mereka boleh tidur sehari berkali-kali, kita pula kadang-kadang tidak boleh tidur berhari-hari.
Kalut dan kelam-kabut mengekori kita ke mana-mana.
Ia datang dengan pelbagai cara. Daripada tuntutan tugas di tempat kerja, kewajipan terhadap keluarga, tekanan persekitaran dan serba mak nenek lagi.
Lebih parah, semua itu sering muncul tanpa jangkaan.
50 tahun lalu ketika anda berada di tempat kerja, tumpuan boleh diberikan sepenuhnya pada pekerjaan dilakukan.
Tidak perlu sekejap-sekejap tengok mesej, sekejap-sekejap intai berita dan cerita di media sosial.
50 tahun sebelum itu pula, orang cuma perlu risau anaknya mungkin disorok hantu jika masih belum pulang walaupun hari telah lewat.
Tidak perlu gusar tentang kemungkinan dia berada bersama rakan yang salah, yang merempit, yang menyalahgunakan dadah.
VUCA adalah era yang wajah esok dan lusanya tidak bersifat absolute (mutlak). Sebaliknya ia kabur dan tidak menentu. Hidup kita boleh berubah hanya kerana satu mesej atau satu dua panggilan.
Kalau tidak percaya cuba tanya mangsa-mangsa scam yang sebahagiannya jadi miskin secara tiba-tiba hanya kerana beberapa transaksi yang bukannya dilakukan di kaunter bank tetapi mungkin di bilik tidur.
Pandemik Covid-19 adalah satu contoh lain tentang bagaimana sesuatu itu dengan mendadak boleh melumpuhkan seantero dunia. Jangan lupa pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Sebahagian besar keputusannya juga adalah hasil daripada ketidaktentuan sehingga menyebabkan tidak sedikit orang menjadi tidak keruan.
Inilah cabaran sebenar kehidupan sekarang. Kita tidak boleh lagi berdakap tubuh dalam zon selesa. Setiap masa perlu berwaspada dan berjaga-jaga.
Sebab itu apabila bercakap tentang survival masa kini, ia bukanlah semata-mata tentang kebijaksanaan mencari, mengurus dan mengumpul wang ringgit.
Skopnya lebih luas. Ia berkait kesediaan dan daya tahan kita menghadapi kalut-malut serta ketidaktentuan.
Kesediaan dan daya tahan itu tidak datang semula jadi.
Ia perlu dipupuk dan antara kaedah pemupukannya ialah mempunyai pemikiran fleksibel dan tidak konvensional, dapat menganalisis sesuatu dengan cepat, berdaya kreatif, mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, pintar emosi dan paling penting ‘tidak mudah koyak’.
Dengan memiliki dan mempraktikkan nilai-nilai di atas, peluang anda menikmati hidup tenang dan selesa akan luas terbuka. Itu pun jika anda tidak memilih menjadi ahli politik...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca