SHAH ALAM - Majikan boleh menggalakkan pekerja untuk meningkatkan peratus caruman lebih tinggi ke dalam Akaun 1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar mereka mempunyai lebih banyak simpanan menjelang hari persaraan. Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Majikan boleh menggalakkan pekerja untuk meningkatkan peratus caruman lebih tinggi ke dalam Akaun 1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar mereka mempunyai lebih banyak simpanan menjelang hari persaraan.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ini sekali gus dapat mencapai sasaran simpanan asas sekurang-kurangnya RM35,000 pada usia 30 tahun.

"Pada masa ini kadar caruman mandatori pekerja adalah 11 peratus. Amat penting bagi majikan untuk bekerjasama dengan KWSP bagi menggalakkan pekerja mencarum lebih dan memberikan literasi kewangan supaya mereka memahami sepenuhnya keperluan mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi demi menjamin kehidupan di hari tua,” katanya kepada Sinar Premium.

Syed Hussain menjelaskan, MEF sentiasa menggalakkan majikan untuk berusaha membantu kesemua pekerja meningkatkan simpanan melebihi amaun minimum bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan persaraan lebih selesa.

"Walaupun hanya 19 peratus daripada 446,000 ahli KWSP berumur 30 tahun berjaya mencapai sasaran simpanan RM35,000 pada ketika ini, ia tidak boleh dijadikan pengukur yang tepat kerana kebanyakan pencarum telah mengeluarkan sejumlah besar simpanan mereka semasa pandemik Covid-19.

"Dengan adanya pemulihan pasaran kerja dan kebanyakan syarikat kembali membayar gaji serta elaun penuh kepada pekerja, simpanan KWSP dilihat meningkat dengan lebih pantas. Terdapat peruntukan di mana ahli boleh menyumbang tambahan dan mereka hendaklah menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk meningkatkan kembali simpanan di dalam KWSP,” katanya.

Sebelum ini, KWSP menyarankan rakyat Malaysia mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM35,000 pada usia 30 tahun untuk mencapai jumlah minimum wang simpanan yang diperlukan bagi menampung kehidupan selepas bersara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketika ini hanya 19 peratus daripada 446,000 ahli KWSP berumur 30 tahun berjaya mencapai sasaran simpanan RM35,000 dengan purata simpanan sebanyak RM78,000 seorang, setakat Jun 2023.

Dalam pada itu katanya, sasaran simpanan asas sekurang-kurangnya RM35,000 pada usia 30 tahun mampu dicapai oleh pekerja sekiranya gaji minimum RM1,500 diberikan kepada pekerja dan tiada pengeluaran dibuat dari simpanan di dalam Akaun 1 KWSP.

Jelasnya, jika dua perkara itu dilakukan, masyarakat mula bekerja pada usia 23 tahun dan terus mencarum dengan kadar 24 peratus sebulan, simpanan KWSP mereka akan melebihi RM35,000 apabila mencapai umur 30 tahun.

"Sasaran itu mampu dicapai melalui 13 peratus caruman majikan dan 11 peratus caruman pekerja serta ditambah dengan jumlah dividen yang diberikan oleh KWSP.

"Perkiraan itu adalah atas dasar bahawa pekerja akan menerima kenaikan tahunan pada kadar empat hingga enam peratus setiap tahun.

"Jika pekerja menunjukkan prestasi cemerlang, mereka akan diberi ganjaran bonus dan ia kemudiannya perlu dicarumkan ke KWSP. Faktor kenaikan pangkat dan gaji juga akan menjadi penyumbang peningkatan jumlah caruman dan simpanan KWSP pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Hussain berpandangan, amaun sasaran jumlah wang simpanan KWSP berkenaan sangat wajar dan mampu dicapai kira-kira lapan juta rakyat Malaysia yang bekerja secara formal di sektor swasta.

"MEF optimis bahawa pekerja akan mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi jika semua pemegang taruh termasuk kerajaan berpaut kepada prinsip bahawa simpanan KWSP adalah untuk hari tua dan tidak boleh dikeluarkan sebelum 60 tahun.

"Masyarakat harus faham bahawa KWSP hanyalah salah satu daripada jenis simpanan dan orang ramai perlu menerapkan budaya menabung dalam simpanan lain seperti Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Berhad (ASB), Tabung Haji dan pelbagai produk perbankan iaitu simpanan tetap serta pasaran kewangan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca