MAJORITARIANISME bermaksud pembuatan keputusan atas suara terbesar dan bukan cari sepakat secara musyawarah dan kompromi. Daripada pemahaman luaran, ia seolah-olah menguntungkan golongan majoritas kerana mereka boleh menentukan... Klik di sini untuk terus membaca

MAJORITARIANISME bermaksud pembuatan keputusan atas suara terbesar dan bukan cari sepakat secara musyawarah dan kompromi.

Daripada pemahaman luaran, ia seolah-olah menguntungkan golongan majoritas kerana mereka boleh menentukan segala-galanya. Akan tetapi, ia pedang bermata dua.

Pertama, majoritarianisme boleh mengerapkan konflik atau pengunduran pihak yang rasa dipinggirkan sehingga kepentingan golongan majoriti terjejas.

Kedua dan kurang disedari ramai, golongan majoriti mungkin terbahagi dengan pilihan atau cita rasa yang berlainan sehingga menjadi mangsa majoritarianisme.

Satu contoh majoritarianisme terdapat dalam sistem pilihan raya First-Past-The-Post yang diamalkan di United Kingdom dan banyak negara Komanwel termasuk Malaysia.

Jika terdapat persaingan antara tiga calon yang hampir sama kekuatan, pemenang boleh menang dengan sokongan sekitar sepertiga saja.

Ini sebenarnya berlaku di Keningau, Sabah dalam tahun 2018. Pemenangnya Datuk Seri Panglima Jeffrey Ketingan mendapat 13,286 undi dan menewaskan pesaing terdekatnya (13,241) dengan majoriti tipis 45 undi, sedang pesaing tempat ketiga mendapat 12,472 undi. Beliau menang dengan sokongan 33 peratus undi sungguhpun majoriti 67 peratus memilih calon-calon lain.

Jika ini berlaku di kawasan campuran di Semenanjung, tidak kira kaum mana yang membentuk majoriti (terbesar secara mutlak) atau pluraliti (terbesar secara relatif), pasti akan timbul kegelisahan sama ada kumpulan terbesar ini telah atau akan rugi kerana berlaku ‘perpecahan’.

Untuk mengelakkan kegelisahan ini, maka akan ada yang cadangkan kaum terbesar menumpukan sokongan kepada satu parti saja. Ini seterusnya mungkin merangsangkan kaum-kaum lain untuk menumpukan sokongan kepada satu parti lain.

Apakah akan terjadi kepada pilihan raya? Jika parti-parti yang masing-masing mewakili kaum-kaum berlainan bersaing sesama lain, sukar untuk kempen pilihan raya mengelakkan isu kaum.

Sebaliknya, jika parti-parti ini berpakat untuk menamakan seorang calon lain, maka tiada persaingan dalam pilihan raya, dan tiada semakan dan imbangan selepas pilihan raya.

Secara ringkasnya, majoritarianisme melahirkan kegelisahan kaum dan boleh menguatkan ketegangan antara kaum atau menghindari persaingan, kedua-duanya mencegah demokrasi yang sihat dan matang.

Majoritarianisme bukan wujud dalam pilihan raya saja. Dalam bidang polisi awam, kita selalu mendengar seruan agar kerajaan harus ‘bertekad politik untuk melakukan apa yang perlu, tidak dihindari oleh suara bantahan’.

Apabila keputusan dibuat dengan tidak mengendahkan suara lain, itu majoritarianisme.

Ini boleh berlaku dalam apa jua isu, oleh mana-mana golongan, yang konservatif atau yang liberal, yang beragama atau yang sekular, yang pentingkan ekonomi atau yang pentingkan alam sekitar.

Majoritarianisme sebenarnya didukung oleh banyak kumpulan di Malaysia yang bercanggah pendapat sesama lain dalam pelbagai isu.

Akan tetapi, kumpulan-kumpulan ini inginkan idea mereka dilaksanakan dan suara alternatif diabaikan malah disenyapkan.

Dengan menghasilkan kegelisahan dan menggiatkan tegangan antara kaum, majoritarianisme memudaratkan demokrasi.

Ia boleh menghalang pertukaran kerajaan bila perlu dan mengerapkan pertukaran kerajaan bila tidak.

Selalu kita dengar dakwaan bahawa demokrasi tidak sesuai untuk Malaysia kerana kita masyarakat majmuk.

Lebih kerap daripada bukan, masalahnya bukan kemajmukan tetapi majoritarianisme yang menyebabkan kita enggan bermusyawarah dan mencapai muafakat sebelum membawa perubahan besar.

Harapan saya pada Hari Merdeka dan Hari Sabah tahun ini, Kerajaan Madani akan meyakinkan semua lapisan masyarakat tiada sebarang perubahan besar atau sensitif akan berlaku sebelum wujudnya kemuafakatan.

Cukuplah majoritarianisme selama ini.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca