STATUS sebagai bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berdepan calon Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon bebas pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai menjadi satu kelebihan buat Suhaizan Kaiat untuk meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Suhaizan, 50, mengakui sebagai calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika bahang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri masih terasa, sudah tentu tumpuan akan diberikan kepada dirinya termasuk soal sokongan akar umbi UMNO dan BN.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NOR AZURA MD AMIN dan ZULHISHAM ISAHAK bersama Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang juga bekas pensyarah mengenai PRK Parlimen Pulai.
SINAR HARIAN: Bagaimana pengalaman sebagai Speaker DUN Johor dapat membantu memberi khidmat di Parlimen Pulai?
SUHAIZAN: Sewaktu menjadi Speaker DUN di bawah tiga Menteri Besar bermula 2018 sehingga PRN Johor, Mac tahun lalu, memberi kelebihan kepada saya untuk berhubung dengan pegawai di peringkat negeri, Exco malah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri.
Oleh itu, urusan bersama kerajaan negeri mudah untuk diuruskan. Hubungan baik dengan pimpinan negeri dan UMNO Johor diteruskan kepada PRK Pulai kali ini di mana mereka memberikan sokongan kepada saya.
SH: Apakah isu-isu penting yang perlu diberikan perhatian di Parlimen Pulai?
Pertamanya isu perumahan dan berkaitan peluang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) selain infrastruktur seperti lif rosak serta perlu ditambah baik.
Hakikatnya, Parlimen Pulai terletak di tengah pusat bandar Johor Bahru berdepan masalah rumah, kemudahan taman sekitar perumahan. Inilah yang yang berlaku di sini.
Keduanya, isu berkaitan pendidikan anak-anak yang mana masih terdapat keciciran murid. Seterusnya, peluang pekerjaan dalam negara.
Saya akui ramai anak muda memilih menyeberang Tambak Johor untuk bekerja di Singapura. Saya kira kawasan di sini agak padat dengan penduduk, sekali gus program berbentuk modal insan lebih tersusun dirasakan perlu diadakan.
Terdapat empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Parlimen Pulai iaitu PPR Kempas Permai, Uda Utama, Melana dan Taman Perling. Dari segi kepadatan penduduk, banyak tertumpu di Taman Perling.
SH: Adakah benar terdapat penolakan ahli UMNO atau ia sekadar naratif pihak lawan sahaja?
Sebelum penamaan calon lagi ahli UMNO sudah diberi taklimat oleh pemimpin mereka. Mereka sudah dapat gambaran secara umum apa yang sepatutnya mereka laksanakan, apa yang mereka perlukan dalam PRK dan propaganda itu dimainkan oleh bukan UMNO.
Kepimpinan UMNO sendiri mengaku bahawa propaganda seperti kain rentang menolak PH itu bukan agenda UMNO, sebaliknya agenda orang lain yang tidak mahu melihat perpaduan dalam PH-BN.
Dari segi hubungan dengan UMNO, tiada isu. Cuma untuk menghadapi PRK, ada cabaran bagaimana kita hendak meyakinkan akar umbi UMNO dan BN betapa pentingnya kerjasama PH-BN.
SH: Berapa ramai pengundi di Pulai yang bekerja di Singapura dan bagaimana boleh membantu untuk memudahkan mereka pulang mengundi pada 9 September ini?
Dianggarkan 30 peratus pengundi Parlimen Pulai bekerja di Singapura, sama ada berulang alik atau tinggal di sana.
Sudah tentu angka mereka bekerja di Singapura ini besar dan perlu ada usaha dilakukan untuk tarik mereka pulang mengundi.
Pertama, saya guna media sosial untuk merangsang mereka balik mengundi.
Saya akan jelaskan kepentingan mereka untuk balik kerana jika Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti rendah, ia akan digunakan pihak tertentu menggambarkan bahawa kerajaan pada hari ini tidak dapat sokongan.
Bukan isu kalah menang. Isu menang dengan majoriti yang tidak meyakinkan pun sudah memberi kesan kepada kerajaan. Sebab itu pentingnya mereka balik undi.
Untuk membuktikan bahawa kita mempunyai kekuatan sendiri di Johor, mereka kena pulang mengundi pada 9 September ini.
Ini bermakna sekiranya mereka belum dapat cuti, cuba mohon cuti pada 9 September. Begitu juga mereka yang tinggal di Singapura.
SH: Bagaimana melihat kempen dijalankan pihak lawan?
Kempen dilaksanakan PN banyak tertumpu kepada DUN Kempas. Jadual mereka pun banyak berada di sana (DUN Kempas).
Berbeza PH yang memberi tumpuan di DUN Perling dan Kempas. Saya dapat kerjasama erat jentera PH khususnya DAP dan PKR.
Kempen di DUN Kempas pula banyak bekerjasama dengan UMNO. Gabung jalin kerjasama ini sangat menarik dengan dua kekuatan digabungkan.
Saya juga tertarik dengan dakwaan pembangkang berhubung PRK Pulai mampu bantu pertukaran kerajaan kali ini.
Kalau kiraan Matematik, 148 tolak satu (jika PN rampas Pulai) tak menggugat kerajaan Pusat.
Mereka boleh guna apa saja untuk yakinkan pengundi, tapi secara matematiknya salah dan tak munasabah.
Klik di sini untuk terus membaca