SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat, menggunakan saluran media sosial bagi mendekati dan memberi kesedaran kepada pengundi luar untuk pulang mengundi sempena pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai, pada 9 September ini.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, beliau terpaksa berbuat demikian kerana difahamkan 30 peratus pengundi Parlimen Pulai kini bekerja di pelbagai sektor di Singapura.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, jumlah itu adalah satu angka yang besar dan usaha berterusan perlu dilakukan supaya mereka yang berulang alik atau tinggal di Singapura dapat pulang ke Pulai untuk mengundi.
"Oleh itu, saya guna media sosial untuk merangsang mereka balik mengundi pada 9 September ini. Saya akan jelaskan kepentingan mereka untuk balik di mana jika Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti rendah, ia akan digunakan pihak tertentu menggambarkan bahawa kerajaan pada hari ini tidak dapat sokongan.
"Bukan isu kalah menang. Isu menang dengan majoriti yang tidak meyakinkan pun sudah memberi kesan kepada kerajaan. Sebab itu pentingnya mereka pulang mengundi.
"Untuk membuktikan bahawa kita mempunyai kekuatan sendiri di Johor ini, mereka kena mengundi pada 9 September. Ini bermakna sekiranya mereka belum dapat cuti, cuba mohon cuti pada 9 September begitu juga mereka yang tinggal di Singapura perlu balik mengundi," katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian, baru-baru ini.
Dalam pada itu Suhaizan berkata, pengalaman berkhidmat sebagai Speaker DUN Johor memberi kelebihan kepadanya untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pengundi dan masyarakat jika dipilih selaku Ahli Parlimen Simpang Pulai kelak.
"Sewaktu menjadi Speaker DUN di bawah tiga Menteri Besar bermula 2018 sehingga PRN Johor, Mac tahun lalu, ia memberi kelebihan kepada saya untuk berhubung dengan pegawai-pegawai di peringkat negeri, exco malah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri.
"Oleh itu, urusan-urusan dengan kerajaan negeri mudah untuk saya uruskan. Hubungan baik dengan pimpinan negeri dan UMNO Johor ini diteruskan kepada PRK Pulai kali ini di mana mereka memberikan sokongan kepada saya," katanya.
Suhaizan berkata, antara isu penting yang perlu diberikan perhatian di Parlimen Pulai ialah masalah perumahan terutama isu lif rosak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pelbagai infrastruktur lain.
"Hakikatnya, Parlimen Pulai yang terletak di tengah pusat bandar Johor Bahru berdepan masalah rumah, kemudahan di taman-taman sekitar perumahan. Inilah yang yang berlaku di sini," katanya.
Beliau berkata, penduduk Parlimen Pulai juga menghadapi masalah keciciran murid, peluang pekerjaan dan gaji yang tidak setimpal sehingga menyebabkan ramai anak muda memilih untuk bekerja di negara jiran.
"Saya akui banyak peluang pekerjaan tersedia tetapi tangga gaji yang dimahukan selaras dengan kenaikan kos sara hidup di sini tidak seperti yang dihajati. Keadaan itu menyebabkan, ramai anak muda memilih untuk menyeberang Tambak Johor bekerja di Singapura," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca