SHAH ALAM - Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat, yakin pengundi Parlimen Pulai bijak membuat pilihan dan tidak akan terpengaruh dengan pendekatan kempen ekstrem yang digunakan oleh calon Perikatan Nasional (PN).
Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, pengundi di negeri selatan tanah air itu juga lebih selesa kepada pendekatan sederhana digunakan jentera dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) semasa berkempen setiap hari.
"Orang Johor mempunyai pendekatan sederhana dan tidak suka pendekatan keras serta ekstrem. Masyarakat di sini sukakan suasana yang muafakat, bekerjasama antara satu sama lain, tidak mahu bergaduh dengan orang, tidak suka mencerca orang lain," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.
Berikutan itu, Suhaizan berharap pengundi Parlimen Pulai akan memilihnya sebagai wakil rakyat baharu mereka pada 9 September ini bagi membolehkan beliau meneruskan legasi kepimpinan ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Salahuddin Ayub.
"Tugas utama saya ialah meneruskan legasi Allahyarham Salahuddin. Selain itu, saya mahu memberikan tumpuan isu-isu yang berkaitan perumahan, peluang pekerjaan, sosial, pendidikan dan pembangunan insan masyarakat di Parlimen Pulai," katanya.
Dalam pada itu, Suhaizan juga menolak dakwaan bahawa pemilihannya sebagai calon PH di Parlimen Pulai menimbulkan rasa tidak puas hati dan penolakan jentera parti UMNO di kawasan terbabit.
"Sebelum penamaan calon lagi ahli-ahli UMNO sudah diberi taklimat oleh pemimpin mereka. Mereka sudah dapat gambaran secara umum, apa yang sepatutnya mereka laksanakan, apa yang mereka perlukan dalam PRK ini dan propaganda itu dimainkan oleh parti lain, bukan UMNO.
"Kepimpinan UMNO sendiri mengaku bahawa propaganda seperti kain rentang menolak PH itu bukan agenda UMNO sebaliknya ia adalah agenda orang lain yang tidak mahu melihat perpaduan dalam PH-BN," katanya.
Bagaimanapun Suhaizan mengakui bahawa beliau menghadapi masalah untuk meyakinkan pengundi dan penyokong UMNO untuk mengundinya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak lama lagi.
"Dari segi hubungan dengan UMNO, tiada isu. Cuma untuk menghadapi PRK, ada cabaran, bagaimana kita hendak meyakinkan akar umbi UMNO dan BN tentang betapa pentingnya kerjasama PH dan BN. Mungkin isu-isu yang berkaitan dengan parti itu sebelum ini termasuk peristiwa lama dengan DAP perlu dijelaskan," katanya.
Dalam pada itu, Suhaizan yakin PH mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada PRK nanti kerana pembangkang memberi tumpuan penuh kepada usaha merampai kerusi DUN Simpang Jeram.
"Kempen yang dilaksanakan oleh PN banyak tertumpu kepada DUN Kempas. Jadual mereka pun banyak di DUN Kempas. Berbeza dengan PH dan BN yang memberi tumpuan di kedua-dua kawasan DUN iaitu Perling dan Kempas.
"Saya dapat kerjasama erat dengan jentera PH khususnya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kempen di kawasan DUN Kempas pula banyak bekerjasama dengan UMNO. Gabung jalin kerjasama ini sangat menarik, ada dua kekuatan itu digabungkan sekali gus," katanya.
Suhaizan juga percaya bahawa kekalahan atau kemenangan calon PRK ini tidak menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya mahu pun komposisi kerajaan negeri di Johor kelak.
"Saya juga tertarik dengan dakwaan pembangkang berhubung PRK Pulai mampu bantu pertukaran kerajaan kali ini. Kalau kiraan Matematik, 148 tolak satu (jika PN rampas Pulai) tak menggugat kerajaan pusat. Mereka boleh guna apa saja untuk yakinkan pengundi, tetapi secara matematiknya salah dan tak munasabah.
"Sekarang ini, mereka juga ungkit hubungan Pas dengan Amanah, kenapa sebahagian daripada anggota Amanah keluar dari Pas. Punca Amanah wujud sebab ada dua aliran pandangan ketika itu, satu kumpulan yang mahu Pas kekal bersama dengan Pakatan Rakyat dan satu kumpulan lagi, mereka tak mahu keluar daripada Pakatan Rakyat.
"Perkara itu yang menyebabkan perpecahan dan apabila Amanah ditubuhkan pada 2015, kita sebenarnya telah ambil ruang yang ditinggalkan oleh Pas dalam Pakatan Rakyat.
"Saya rasa tiada kekuatan kepada hujah ini dimainkan pada PRK kali ini kerana Amanah telah berikan sumbangan yang penting kepada pembentukan kerajaan sebelum ini. Itu bermakna, Amanah sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan, tidak perlu propaganda ini sebagai untuk menidakkan Amanah pula," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca