SHAH ALAM - Tindakan China mengeluarkan Peta Standard China Edisi 2023 meliputi kawasan maritim negara lain boleh menimbulkan kemarahan negara-negara ASEAN yang terlibat. Pakar Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan China mengeluarkan Peta Standard China Edisi 2023 meliputi kawasan maritim negara lain boleh menimbulkan kemarahan negara-negara ASEAN yang terlibat.

Pakar Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini disebabkan peta berkenaan melibatkan kawasan geostrategik di rantau ini.

Beliau berkata, tindakan China itu juga akan memberi kesan besar bukan sahaja terhadap kestabilan dalam kalangan negara Asia, bahkan menimbulkan konflik yang lebih besar di antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, pengaruh AS terhadap persekitaran perairan negara sangat besar kerana mempunyai hubungan yang baik dan sekutu kepada negara-negara ASEAN khususnya Malaysia, Filipina dan Vietnam.

"Tindakan itu boleh menimbulkan kemarahan sekutu kepada negara-negara yang mempunyai tuntutan ke atas negara tersebut iaitu AS.

"Kita tahu AS bekerja rapat dengan Filipina dan membantu negara itu dalam menjaga perairan, termasuk Malaysia yang mempunyai hubungan baik dengan AS, begitu juga Vietnam.

"Implikasinya, sudah tentu ia akan mengundang reaksi balas negara-negara ASEAN yang menuntut kawasan tersebut. AS pastinya tidak akan berdiam diri, malah pertelingkahan antara China dan AS di rantau ini bukanlah satu perkara baharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Jelas Ahmad Marthada, AS sudah tentu berpendirian bahawa kawasan tersebut bukanlah milik China kerana masih belum ada sebarang keputusan terhadap tuntutan daripada negara-negara lain.

"Pertikaian ini berbahaya kerana ia bukan sahaja berkaitan konflik politik, bahkan ekonomi. Kita tahu sebenarnya perebutan di perairan Laut China Selatan ini bukan sahaja dari segi geopolitik, tetapi geoekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata, kawasan berkenaan melibatkan laluan antarabangsa dan perdagangan serta ekostrategik terhadap penguasaan negara-negara ASEAN.

"Apabila China menguasai negara tersebut, mereka boleh menguasai rantau ini dan menghalang negara-negara besar lain untuk datang.

"Secara politiknya, China mempunyai agenda. Kita tahu ia akan menimbulkan konflik berkepentingan terhadap negara-negara yang membuat tuntutan,” katanya.

Sebagai jalan penyelesaian, beliau berkata, Malaysia perlu mengetengahkan konflik itu di peringkat Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk membuat keputusan serta mengemukakan bantahan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ujar beliau, tindakan itu perlu dibuat kerana negara-negara ASEAN tidak kuat dari segi ketenteraan dan keupayaan berbanding China.

"Selain itu, rundingan perlu disegerakan kerana dasar ASEAN adalah dasar berbaik-baik. Sudah tentu ASEAN kena berunding dengan negara China.

"Sudah tentu negara-negara seperti Filipina cuba untuk memohon campur tangan daripada AS dan konflik ini akan bertambah buruk sekiranya tiada penyelesaian jangka pendek,” katanya.

Pada Selasa, media melaporkan Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.

Peta itu antara lain menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.

Ia turut membabitkan kawasan maritim Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu menegaskan, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti digariskan dalam Peta Standard China Edisi 2023 yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca