SEMINGGU yang lalu, ada dua insiden membuatkan penulis berfikir tentang masa depan kejuruteraan di negara ini. Pertama, seorang sahabat menghantar video tentang perbezaan kelajuan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) pertama Indonesia menghubungkan Jakarta dan Bandung.
Bermula dengan kelajuan 180 kilometer sejam (km/j), ia boleh meningkat 385km/j. Kelajuan HSR di Malaysia dikatakan hanya melepasi 145km/j menyebabkan ada yang memandang remeh tahap teknologi kejuruteraan negara. Ada netizen menganggap kualiti kejuruteraan Malaysia lebih rendah dari Indonesia.
Insiden kedua pula melibatkan cadangan Indonesia mahu menganggotai BRICS. Anggota negara BRICS ialah Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Ia mewakili 30 peratus jumlah keluasan dunia, sementara populasi pula melepasi 43 peratus penduduk dunia.
Perancangan Presiden Indonesia, Jokowi menyebabkan ada rakan penulis bertanyakan wajarkah Malaysia menganggotai BRICS?
Setelah hampir 40 tahun bergelumang dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penulis percaya Malaysia perlu menguasai TVET sekiranya mahu jadi negara anggota BRICS.
Perlu diingatkan, BRICS ialah pertubuhan negara mempunyai pertumbuhan ekonomi luar biasa dan pakar teknologi kejuruteraan.
Penulis terkilan dengan persepsi rakyat Malaysia. Ada menganggap TVET pendidikan kelas rendah dan tidak penting kepada penyelidikan gunaan terkini (latest applied research).
Menerusi kejayaan TVET, Malaysia akan memiliki pakar dalam bidang teknikal, kejuruteraan, teknologi, kedoktoran, kewangan, perakaunan, perniagaan, pemasaran, perubatan, pengurusan, pendidikan, penerbangan, undang-undang, perladangan, pertanian, penternakan, pelancongan dan penyelidikan gunaan.
TVET juga boleh meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja, selain menggalakkan penyertaan sosial dan kesamarataan peluang.
Penulis mendapati pelaksanaan TVET di Eropah, Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS) banyak melibatkan latihan vokasional, pendidikan teknikal, perantisan (apprenticeships), latihan sambil kerja (on job training) serta latihan berasaskan projek sebenar (real project-based training).
Penulis juga mendapati TVET struktur penting kepada pendidikan. Ia boleh menjadi kaedah utama meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja. Nilai tenaga kerja mahir dan pakar profesional kepada sesebuah organisasi atau negara tiada nilai harga sebenarnya.
Penulis juga percaya kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) banyak bergantung kepada bilangan tenaga mahir dan kepakaran profesional.
Penulis puji langkah kerajaan Selangor memperkasakan TVET. Menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), kerajaan negeri memacu agenda memperkasakan sektor teknologi kejuruteraan.
STDC juga telah menandatangani perjanjian dengan tiga gergasi Jerman iaitu FESTO dan Technical University of Munich (TUM) dengan Dassault Systemes (France).
Selain itu, STDC berikrar menyediakan escape route kepada mereka yang meminati bidang teknikal dan vokasional. Kerjasama itu selaras dengan program TVET dilaungkan kerajaan. Kerjasama menjurus kepada bidang digital automasi dan robotik.
STDC sebelum ini telah menjalin perjanjian persefahaman dengan SIEMENS untuk memajukan bidang pembuatan termaju, selain Apple pembangunan aplikasi dan pembangunan pengisian.
Isu TVET disebut ALLAH SWT dalam surah Al-Mujadalah, ayat 58:11; surah Al-Baqarah ayat 2:195 dan surah An-Naml ayat 27:15-16 iaitu tentang kelebihan manusia mempunyai ilmu serta kemahiran.
TVET mesti dihayati dengan ikhlas oleh pegawai kewangan sesebuah organisasi, negeri atau negara. Kegagalan memahami atau menilai kepentingan memperuntukkan kewangan kepada TVET akan menyebabkan usaha melahirkan ramai tenaga pakar berkemahiran tinggi akan menemui jalan buntu.
Penulis juga berharap pegawai kewangan sesebuah organisasi, negeri atau negara tidak hanya tertumpu kepada matlamat kewangan jangka pendek seperti keuntungan suku tahunan jika mahu melahirkan tenaga mahir dan kepakaran profesional dalam negara.
Pada masa sama, nasib TVET akan menjadi malang sekiranya ramai pegawai kewangan hanya memikirkan pulangan pelaburan atau return of investment (ROI) sekiranya program latihan tenaga mahir dan pembangunan kepakaran profesional dilaksanakan.
Secara keseluruhan, penulis percaya Malaysia berada di landasan terbaik untuk memperkasakan TVET. Pasukan pengurusan teknikal boleh membantu pegawai kewangan memahami kepentingan pelaburan dalam pembangunan latihan berkemahiran.
Kesimpulannya, program latihan tenaga mahir dan kepakaran profesional yang dilaksanakan termasuk oleh STDC adalah inisiatif penting yang boleh meningkatkan FDI di sesebuah negara.
*Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca