SHAH ALAM - DAP boleh kehilangan pengaruh dan sokongan kaum bukan Melayu terutama Cina jika mereka menggugurkan agenda penubuhan ‘Negara Sekular’ dan slogan ‘Malaysian Malaysia’. Pengarah Akademik Huayan Policy Institute Centre for... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - DAP boleh kehilangan pengaruh dan sokongan kaum bukan Melayu terutama Cina jika mereka menggugurkan agenda penubuhan ‘Negara Sekular’ dan slogan ‘Malaysian Malaysia’.

Pengarah Akademik Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies (Huayan), Profesor Madya Dr Chang Yun Fah berpandangan, disebabkan itu DAP tidak mungkin menggugurkan agenda berkenaan tambahan pula perkara itu adalah ideologi teras parti terbabit.

Malah katanya, sehingga kini tiada siapa dapat memberikan jaminan bahawa DAP akan mendapat sokongan pengundi Melayu jika mereka meninggalkan ideologi asal parti terbabit.

"Tetapi buat masa ini parti gabungan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya tidak wajar membincangkan isu ideologi parti masing-masing mahupun DAP atau UMNO.

"Mereka tidak mungkin boleh bersaing dengan Pas dalam isu ideologi buat masa ini. Mereka harus utamakan isu ekonomi negara dan meningkatkan rezeki orang ramai serta kurangkan kesusahan dialami golongan B40 dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Premium.

Berikutan itu, Yun Fah menegaskan, semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan tidak wajar mencampuri urusan dalaman dan ideologi parti lain sebaliknya mereka perlu saling menghormati antara satu sama lain.

Sebagai contoh Yun Fah menegaskan, semasa Pas bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, mereka tidak pernah mencampuri urusan dalaman antara satu sama lain.

"Tanpa menimbulkan isu perbezaan ideologi antara UMNO dan DAP, Kerajaan Perpaduan masih boleh berfungsi jika mereka fokus kepada agenda yang sama. Perbezaan itu boleh dikemukakan nanti apabila mereka sudah tewaskan musuh yang sama iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini menyarankan supaya DAP menggugurkan agenda ‘Negara Sekular’ dan slogan ‘Malaysian Malaysia’'.

Nur Jazlan berkata, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP hari ini sudah berbeza dari sebelumnya, selain daripada parti itu meminda Perlembagaan parti sekali gus menggugurkan dua elemen berkenaan.

Timbalan Speaker Dewan Negara merangkap Ketua UMNO Bahagian Pulai itu menegaskan dua agenda itulah yang terus menjadi trauma kepada orang Melayu dan membuatkan mereka tidak boleh menerima perjuangan DAP.

Tiada dalam Perlembagaan DAP

Sementara itu, Ahli Parlimen Beruas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham menjelaskan, agenda tersebut tiada dalam Perlembagaan parti terbabit.

"Saya rasa Nur Jazlan tidak baca Perlembagaan DAP. Perkataan seperti ‘Negara Sekular’ dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ tiada dalam Perlembagaan DAP seperti yang didakwa olehnya. DAP adalah parti politik yang menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca