MENJADI lumrah bagi setiap usahawan apabila menghadapi pelbagai masalah, akan cuba menyelesaikan seberapa segera. Situasi ini pastinya akan memberi tekanan kepada usahawan dan akan mengambil tindakan, yang adakalanya tidak menguntungkan perniagaan.
Antara perkara yang dihadapi ialah isu, masalah, peluang dan risiko yang berlegar dalam perniagaan. Kesemua ini boleh dikumpulkan ke dalam empat kategori berdasarkan kepentingan atau sebaliknya.
Menerusi pembahagian seperti ini, usahawan akan dapat membuat pengelasan:
1. Penting dan perlu ditangani segera
2. Penting tetapi untuk menyelesaikannya akan memakan masa
3. Tidak penting tetapi ada desakan untuk disegerakan
4. Tidak penting dan tidak ada keperluan untuk ditangani segera
Berdepan pengelasan isu-isu berkenaan, neraca yang digunakan sebagai pertimbangan ialah kepentingan perniagaan itu sendiri. Jika perniagaan ada perancangan strategik yang jelas, itu akan menjadi asas untuk menentukan mana yang penting dan mana yang tidak serta mana yang perlu didahulukan dan mana yang boleh dilewatkan.
Sekiranya perkara-perkara luar dijadikan asas penentuan seperti desakan di media sosial oleh orang-orang yang ada maklumat atau tidak mengetahui asal usul masalah, pengelasan yang dibuat mungkin tidak meletakkan kepentingan perniagaan sebagai yang terpenting.
Usahawan mungkin bertanya mengapa kita perlu membahagi isu-isu yang dihadapi ke dalam empat kumpulan ini?
Jawabnya ialah setiap perniagaan mempunyai sumber yang terhad dari segi dana, modal insan, masa dan lain-lain sumber lagi.
Jadi, apabila jelas apa yang penting dan perlu ditangani segera, sumber-sumber yang ada boleh disalurkan kepada mencari penyelesaian isu berkenaan bagi mengukuhkan lagi perniagaan kita.
Isu-isu strategik seperti pengenalan produk baharu, menembusi pasaran baharu dan meningkatkan kemahiran ahli pasukan mungkin terabai kerana hasil dari usaha-usaha itu biasanya memakan masa.
Apabila isu-isu ini sudah dikenal pasti, ia perlu diberi perhatian yang lebih berbanding dengan lain-lain isu yang tidak penting walaupun ada tekanan dari dalam dan luar.
Sekiranya perniagaan ada sumber dan masa yang lebih, barulah perkara-perkara yang tidak penting diberikan perhatian. Itu pun kena berpilih-pilih agar tidak mengambil peruntukan dan sumber dari perkara-perkara penting yang sedang diusahakan.
Adalah malang bagi mana-mana perniagaan jika perkara-perkara yang tidak penting dan tak berbekas jika ditangani diberikan perhatian di kala perkara-perkara yang lebih penting terabai.
Apabila asas untuk meletakkan keutamaan membuat keputusan dan mengambil tindakan dijelaskan dengan kaedah yang dicadangkan di atas, usahawan akan berasa lebih mudah untuk memilih mana yang perlu didahulukan dan mana yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Ini penting kerana ia memberi keyakinan kepada usahawan terhadap sesuatu isu yang dihadapi.
Adalah biasa jika usahawan berasa hampir kesemua isu yang dihadapinya penting. Namun, setelah menggunakan kaedah pengelasan berdasarkan kepentingan ini untuk beberapa waktu, peniaga akan berasa lebih yakin dengan kaedah pemilihan dan lebih fokus dan nampak hasil dari usaha yang kita fokus itu.
Usahawan akan sedar bahawa tidak semua isu yang timbul memerlukan perhatian. Jangan takut untuk mengabaikan perkara yang sebenarnya bukan masalah pun.
*Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji
Klik di sini untuk terus membaca