SHAH ALAM - Tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim Malaysia disifatkan sebagai menggugat kedaulatan negara.
Penganalisis Pertahanan dan Geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, selain mencabuli hak maritim Malaysia, tindakan China turut menggugat kedaulatan negara-negara lain yang mempunyai perebutan kawasan di Laut China Selatan seperti Vietnam, Filipina, Taiwan dan Brunei.
Beliau berkata, Malaysia perlu membuat bantahan dalam isu tersebut bagaimanapun perlu secara diplomasi dan tidak bertindak secara bersendirian."Kita juga tahu Amerika Syarikat (AS) ketika ini begitu agresif membantu Filipina. Jadi, kalau negara kuasa besar itu campur tangan dalam isu ini, ia mungkin membawa kepada konfrontasi bersenjata di Laut China Selatan. Itu yang bahayanya.
"Jadi, dalam isu ini, kalau Malaysia mahu bertindak sendirian tidak berapa praktikal, sebaliknya semua negara yang terlibat perlu bertindak sebagai satu blok ASEAN dan berdiplomasi dengan China.
"Dengan bergabung sebagai satu blok, suara Malaysia dan negara-negara serantau akan lebih lantang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Malaysia pada Rabu dilaporkan tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan sebagaimana yang diperincikan dalam Peta Standard China Edisi 2023 itu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, peta tersebut menunjukkan tuntutan maritim sepihak China dan melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak sama sekali tidak mengikat Malaysia.
Sehubungan itu, Malaysia kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan serta bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
Sementara itu, Muhammad Fuad berkata, isu tuntutan China di Laut China Selatan bukanlah perkara baharu.
Beliau berkata, negara tersebut telah mengeluarkan peta Sembilan Garis Putus atau Nine Dash Line sejak tahun 1947 dan Mei 2009 yang menjadi asas tuntutan 90 peratus wilayah maritim di lautan itu.
"Cuma China mengeluarkan peta itu secara rasmi untuk tahun 2023. Mengeluarkan peta ini secara rasmi mungkin boleh dianggap sebagai langkah populis kepada rakyat negara China untuk menunjukkan penguasaan maritimnya.
"Peta ini juga mungkin sebenarnya tidak ditujukan kepada negara-negara ASEAN terutama Malaysia yang merupakan rakan dagang China yang terbesar.
"China mungkin nak memberikan suatu gambaran kepada AS bahawa kawasan Laut China Selatan adalah kawasan milik mereka,” ujar beliau.
Tambah Muhammad Fuad, isu sempadan laut juga sangat subjektif kerana perebutan sumber lautan sudah berlaku daripada zaman dahulu dan masih berlanjutan sehingga kini disebabkan setiap negara yang membuat tuntutan mempunyai pendirian masing-masing.
"Oleh itu, kita perlu berdiplomasi melainkan kalau (China) betul-betul menceroboh kepulauan kita dengan persenjataan.
"Itu kita terpaksa menentang sama seperti macam pencerobohan Rusia-Ukraine,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca