DISPUR - Penduduk pedalaman di Asia Selatan sejak sekian lama dihantui misteri kematian ratusan burung dan sering dikaitkan dengan kisah mitos, tahyul dan paranormal.
Kejadian yang berlaku di sebuah desa kecil di negeri Assam, timur laut India itu turut dikaitkan dengan kisah mistik dan gangguan roh jahat setiap kali burung menghampiri atau singgah di perkampungan tersebut.
Jatinga yang terletak di daerah Dima Hasao adalah sebuah desa yang dikenali dengan panorama alam menghijau dan dikelilingi gunung-ganang.
Namun, sejak beberapa dekad lalu ia dianggap sebagai 'lembah kematian' bagi unggas kerana burung-burung yang singgah di situ tidak akan keluar atau meninggalkan Jatinga hidup-hidup.
Penduduk tempatan percaya bahawa burung yang datang ke Jatinga bukan untuk mengawan atau bermigrasi tetapi 'membunuh diri'.
Saintis kebingungan
Mitos burung 'membunuh diri' di Jatinga berlaku sekitar September hingga November setiap tahun ketika keadaan cuaca tidak menentu dan berkabus.
Berdasarkan kajian mendapati keadaan tersebut menyebabkan unggas malang yang terdiri daripada beberapa jenis burung tempatan itu menjadikan cahaya yang dipasang penduduk di Jatinga sebagai panduan untuk terbang.
Ia menyebabkan beratus-ratus burung yang sedang terbang akan melanggar tiang lampu, struktur bangunan dan juga pokok-pokok.
Kejadian itu biasanya berlaku selepas matahari terbenam antara jam 7 hingga 10 malam.
Fenomena ini yang digelar 'avian harakiri' turut mengundang tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan pelancong malah saintis kebingungan dan berpendapat unggas-unggas malang itu bukanlah spesies yang mempunyai kecenderungan 'membunuh diri'.
Habitat dinaiki air
Kajian menunjukkan kumpulan burung itu hanya datang dari arah utara dan bertumpu di satu tempat seluas 200 meter lebar dan 1.5 kilometer panjang.
Namun, apa yang menghairankan tiada burung migrasi terlibat sebaliknya yang bernasib malang hanyalah 44 spesies tempatan yang datang dari lembah dan lereng bukit berhampiran antaranya burung raja udang, Black Bittern, Tiger Bittern, Indian Pitta dan Heron.
Penemuan saintis dan pemerhati burung mendapati majoriti unggas berkenaan kehilangan habitat disebabkan banjir yang berlaku ketika musim monsun.
Keadaan itu mendorong penghijrahan beramai-ramai dan Jatinga salah satu laluan yang perlu ditempuhi.
Sehingga kini pengkaji gagal mengemukakan dengan jelas kenapa burung berkenaan memilih terbang pada waktu malam, selain mengulangi kitaran terperangkap di tempat serta pada waktu yang sama setiap tahun.
Jumlah burung 'membunuh diri' terbesar pernah direkodkan di Jatinga adalah pada 1988 ketika Assam dilanda banjir terburuk dalam sejarah.
Hari ini, sebahagian penduduk tidak lagi menganggap fenomena tersebut sebagai misteri sebaliknya sebahagian tarikan pelancongan yang membawa keuntungan besar selain meletakkan nama Jatinga dalam peta dunia. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca