SHAH ALAM - Jawatan Peguam Negara yang sering diselubungi kontroversi selain terpalit tuduhan melakukan pendakwaan terpilih boleh diatasi jika penyandangnya mampu menjelaskan mengapa sesuatu keputusan untuk mendakwa diambil khususnya membabitkan individu berprofil tinggi.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, mengeluarkan kenyataan secara menyeluruh berserta bukti-bukti kukuh untuk sesuatu kes jenayah berprofil tinggi adalah antara cabaran ketelusan terbesar yang perlu dilalui oleh Peguam Negara yang baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan orang ramai jelas dan tidak mempersoalkan sebarang keputusan yang diambil.
"Kalau beliau (Peguam Negara) hendak bawa sesuatu kes ke mahkamah, beliau patut beri alasan supaya dari awal tidak ada tohmahan atau persepsi negatif terhadap Jabatan Peguam Negara.
"Jabatan Peguam Negara sekarang tidak boleh sekadar berdiam diri sebaliknya harus mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskannya kepada rakyat. Bagi saya itu trend kekhilafan yang berlaku semasa Tan Sri Idrus Harun menjadi Peguam Negara.
"Bukan hendak kata Idrus tidak mengeluarkan kenyataan langsung, tetapi apabila dikeluarkan kenyataan, ia tidak lengkap sehingga menimbulkan persoalan lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Jumaat, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Ahmad Terrirudin bagi menggantikan Idrus berkuat kuasa Rabu depan.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Idrus akan dikenang sebagai Peguam Negara yang kontroversi dan melaksanakan pendakwaan terpilih sepertimana bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
"Dia membisu pasal memo bocor. Dia membisu pasal kertas siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan. Dia tidak mendakwa Zeti. Dia dituduh cuai sehingga empat pertuduhan terhadap Muhyiddin gugur,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Jawatan Peguam Negara sering dianggap sebagai kerusi panas kerana ramai penyandangnya terkait kontroversi.
Tommy Thomas misalnya dikritik dan diminta meletak jawatan oleh pembangkang selepas pengguguran kes Lim Guan Eng pada 2018 berhubung urusan jual beli sebuah banglo di George Town di bawah harga pasaran semasa.
Dakwaan Tommy dalam bukunya, My Story: Justice in the Wilderness turut mencetuskan kontroversi sehingga Jemaah Menteri pada Januari lalu bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan dalam buku tersebut.
Selain itu, pelantikan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara pada 2015 selepas peletakan jawatan Tan Sri Abdul Gani Patail turut mengundang kritikan.
Pengkritik mendakwa pelantikannya menggantikan Abdul Gani, yang tidak disambung perkhidmatan atas alasan kesihatan, adalah bertujuan untuk menutup skandal 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Klik di sini untuk terus membaca