SHAH ALAM - Peguam Negara perlu memastikan setiap keputusan sama ada mendakwa atau melepaskan individu tertentu khususnya melibatkan kes berprofil tinggi dibuat berlandaskan asas undang-undang yang jelas serta tidak dipengaruhi oleh apa-apa unsur politik.
Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, perkara itu menjadi asas kredibiliti yang perlu dimiliki seseorang Peguam Negara bagi menjamin integriti badan kehakiman di Malaysia.
"Seseorang Peguam Negara harus menunjukkan beliau bebas membuat keputusan terutama dalam kes melibatkan pemimpin politik, walaupun ditekan atau dipengaruhi tetapi keputusan dibuat tetap mengikut penilaian berdasarkan keterangan yang ada.
"Sebab itu penting untuk pihak pendakwaan memastikan mereka memiliki bukti atau keterangan yang mencukupi sebelum membawa sesuatu kes ke mahkamah. Inilah sebenarnya cabaran terbesar seorang Peguam Negara.
"Cabaran besar itu pernah dan akan dilalui oleh sesiapa sahaja yang memegang jawatan Peguam Negara terutamanya apabila berdepan dengan kes individu berprofil tinggi yang dituduh di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelasnya, cabaran sama juga akan dihadapi Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang baharu dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa Rabu depan.
Menurutnya, Ahmad Terrirudin mesti membuktikan dirinya bebas dan tidak dipengaruhi oleh parti politik tertentu atau tunduk kepada kerajaan semasa membuat keputusan penting melibatkan pertuduhan ke atas tokoh tertentu.
Mengulas mengenai kredibiliti beberapa Peguam Negara yang dipertikai sebelum ini susulan kes yang dihadapi individu ternama, Nik Ahmad Kamal berkata, masyarakat perlu memahami fungsi dan peranan sistem perundangan negara.
Jelasnya, menjadi amalan bagi setiap individu yang memegang jawatan penting itu untuk menilai dan membuat keputusan bersandarkan bukti.
"Tidak wajar untuk mana-mana pihak mempertikai keputusan Peguam Negara secara melulu tanpa melihat asas kepada keputusan mereka,” katanya.
Sementara itu, Nik Ahmad Kamal turut mencadangkan supaya pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya disegerakan bagi menyelesaikan persepsi berat sebelah selain mengelak pasukan pendakwaan dibelenggu tekanan politik pemerintah.
Katanya, pengasingan kuasa itu penting bagi memastikan pasukan pendakwaan dapat menjalankan tanggungjawab secara bebas.
"Saya rasa itu (pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya) adalah langkah ke depan yang harus disegerakan. Kita tidak mahu badan kehakiman terus dipertikai disebabkan kelompongan yang wujud ini,” ujarnya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada Jumaat mengumumkan Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.
Idrus, yang juga abang kepada bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilantik menjadi Peguam Negara pada 6 Mac 2020 bagi tempoh dua tahun menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020 susulan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
Idrus kemudiannya dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 6 Mac 2022 untuk tempoh setahun lagi sebelum disambung enam bulan lagi bermula 6 Mac lalu.
Klik di sini untuk terus membaca