MENDIANG Prof Emiratus Tan Sri Khoo Kay Khim pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, signifikasi 31 Ogos 1957 bagi rakyat Malaysia bukanlah kemerdekaan daripada penjajah British. Dari sudut sejarah dan akademik, penjajahan secara De Jure... Klik di sini untuk terus membaca

MENDIANG Prof Emiratus Tan Sri Khoo Kay Khim pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, signifikasi 31 Ogos 1957 bagi rakyat Malaysia bukanlah kemerdekaan daripada penjajah British.

Dari sudut sejarah dan akademik, penjajahan secara De Jure (secara rasmi) oleh British tidak berlaku di negara kita melainkan negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Salah satu inti pati bagi makna ‘penjajahan’ adalah menguasai sepenuhnya sesebuah tanah jajahan, termasuk pemansuhan sistem institusi diraja tanah tersebut oleh sesebuah kuasa asing, contohnya, pemansuhan Kerajaan Raja Thibaw di Myanmar pada tahun 1885 oleh kerajaan British, atau pengambilalihan Hong Kong daripada Kerajaan Qing pada 1842, di mana Kerajaan Tanah Besar Qing tiada lagi berkuasa di Tanah Jajahan Hong Kong.

Namun, sebelum kemerdekaan, melainkan empat negeri yang disebutkan di atas, institusi-institusi diraja di sembilan negeri lain masih wujud. Sejak 1874, negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah memeterai perjanjian Pangkor dan mewujudkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895. Sultan-Sultan akan meminta nasihat seorang ‘Resident’ daripada pihak British perihal pemerintahan negeri melainkan isu agama dan adat Melayu.

Waktu yang sama, negeri Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor pula mewujudkan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, menjadi ‘Protectorate’ oleh British dengan bantuan penasihat kepada sultan-sultan. Hanya Pulau Pinang dan Melaka dijajah secara terus oleh British melalui Gabenor.

Terdapat satu rancangan oleh British untuk menjadikan Malaya sebagai Tanah Jajahan Penuh British pada 1946, iaitu melalui Malayan Union. Gabenor-General British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent telah memaksa raja-raja Melayu untuk menyerah kuasa kepada kerajaan di London.

Namun, sebuah gerakan telah ditubuhkan, membuat perarakan, demonstrasi, dasar tidak kerjasama, sampailah Malayan Union gagal ditubuhkan, dan digantikan dengan ‘Persekutuan Tanah Melayu. Kuasa-kuasa institusi diraja juga dipelihara. Nama gerakan tersebut adalah ‘UMNO’.

Maksudnya, walaupun secara De Fakto, British telah berjaya campur tangan dalam pemerintahan negeri-negeri Melayu, tetapi secara De Jure, secara rasminya, raja-raja masihlah berkuasa di negeri masing-masing dan institusi diraja tidak termansuh seperti tanah jajahan British yang lain.

Apakah sebenarnya berlaku pada 31 Ogos 1957? Mendiang Tan Sri berkata, 31 Ogos 1957 adalah detik saat di mana Perlembagaan Persekutuan menjadi undang-undang tertinggi, dan institusi diraja menyerahkan kuasa mutlak kepada rakyat melalui Parlimen dan Perlembagaan.

Mulai 31 Ogos 1957, kuasa tertinggi di Tanah Melayu, bukan lagi kuasa mutlak institusi diraja, malah keluhuran Perlembagaan dan keagungan Dewan Rakyat Parlimen, serta pemerintah eksekutif kerajaan teralih dari istana kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya umum. Signifikasi tarikh ini juga mengingati bahawa kita telah bebas daripada zaman feudalisme dan menjadi tuan punya kepada diri sendiri.

Laungan merdeka, kalau memahami erti dan maksud sejarahnya, seharusnya disambungkan dengan ‘Daulat Tuanku’, sebagai tanda penghormatan daripada rakyat kepada institusi diraja yang menyerah kuasa kepada kita.

Merdeka! Daulat Tuanku!

*Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik

Klik di sini untuk terus membaca