SHAH ALAM - Ekonomi negara ASEAN termasuk Malaysia akan terjejas sekiranya konflik Amerika Syarikat (AS) dan China terus memuncak susulan isu Laut China Selatan kerana kawasan tersebut merupakan laluan perdagangan maritim utama di rantau ini.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, ini kerana Laut China Selatan menjadi laluan dan sumber bagi aktiviti perdagangan yang berasaskan hasil laut, minyak dan gas.
"Sudah pasti negara ASEAN khususnya Malaysia akan terkena tempias jika konflik antara AS dan China memuncak kerana isu tindakan China mengeluarkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi Laut China Selatan.
"Kapal-kapal perang China yang adakalanya memasuki perairan Laut China Selatan sehingga wilayah Malaysia (sebelum ini) sedikit sebanyak telah mengganggu kedaulatan negara dan juga aktiviti ekonomi di kawasan perairan tersebut khususnya melibatkan hasil perikanan, mintak dan gas.
"Jadi, sekiranya konflik ini terus memuncak, kita bimbang kesan yang akan dialami juga mungkin akan berlarutan dalam tempoh yang panjang. Jika ini berlaku, ia amat merugikan negara ASEAN khususnya Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Faisol, Malaysia perlu bijak menangani isu ini dengan menggunakan saluran diplomasi yang tuntas supaya kedaulatan negara dan ekonomi negara seiring terbela dan terpelihara.
Jelasnya, tindakan itu perlu dengan mengambil kira Malaysia mempunyai hubungan dagangan yang sangat baik dengan kedua-dua negara tersebut, meskipun China dan AS menjadi seteru dalam ekonomi global.
"Malaysia perlu bijak dalam mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu kerana mereka rakan ekonomi yang sangat strategik. Perdagangan dengan China pada tujuh bulan pertama tahun ini turun sebanyak 7.1 peratus kepada RM252.81 bilion berbanding tempoh sama pada 2022.
"Jika situasi konflik ini berterusan maka jumlah perdagangan dengan China dikhuatiri akan terus jatuh dan ini memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka masa panjang sedangkan China sekarang telah menjadi kuasa ekonomi dunia yang disegani,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca