SHAH ALAM - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa kerajaan supaya tidak tunduk dengan tindakan China yang mengeluarkan Peta Standard China Edisi 2023 bagi memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara. Presidennya, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa kerajaan supaya tidak tunduk dengan tindakan China yang mengeluarkan Peta Standard China Edisi 2023 bagi memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, ketegasan itu penting bagi memberi amaran kepada pihak luar supaya tidak sewenang-wenangnya mencabuli kawasan milik negara ini.

"Saya setuju dengan tindakan kerajaan melalui Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu di Laut China Selatan seperti digariskan dalam Peta Standard China Edisi 2023 yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.

"Bagi saya, kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini kerana kita tidak mahu konflik tuntutan seperti yang berlaku terhadap Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura berulang pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan China mengeluarkan Peta Standard China Edisi 2023 meliputi kawasan maritim negara lain termasuk Malaysia.

Sementara itu, ditanya sama ada perlunya Malaysia mengemas kini peta negara untuk memastikan tidak berlaku pencerobohan terhadap kawasan terutamanya di zon maritim, Mohamed Arshad berkata, ia tidak perlu.

Jelasnya, peta sedia ada telah mencukupi untuk membuktikan kawasan milik negara dan ia perlu dihormati oleh negara-negara lain.

Pada Selasa, media melaporkan Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat sekali lagi menegaskan kerajaan akan menghantar Nota Bantahan Diplomatik kepada negara China untuk menyatakan pendirian Malaysia mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu merupakan langkah susulan yang akan diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani isu tersebut.

"Wisma Putra tidak akan berkompromi mengenai kedaulatan negara,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca