BERBAKI seminggu Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, tidak banyak yang diperkatakan umum tentangnya. Kecuali video TikTok tular ‘Gelombang Sanusi’ di Johor yang ternyata palsu, tidak... Klik di sini untuk terus membaca

BERBAKI seminggu Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, tidak banyak yang diperkatakan umum tentangnya. Kecuali video TikTok tular ‘Gelombang Sanusi’ di Johor yang ternyata palsu, tidak banyak yang menarik perhatian bagi dua PRK tersebut.

Mungkin kerana dua PRK tersebut tidak memberikan apa-apa perubahan signifikan kepada kedudukan kerusi kepada Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mahupun Perikatan Nasional (PN). Walaupun begitu, dari sudut semangat dan keyakinan (morale) pakatan masing-masing, PRK ini masih memberikan impak yang berbeza.

Impak tersebut lebih melihat kepada pola pengundian orang Melayu. Hal ini menarik untuk diperhatikan selepas apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan enam pilihan raya negeri (PRN) bulan lalu. Pola pengundian orang Melayu memihak PN menimbulkan andaian bahawa mereka menjadi far-right yang ekstrim.

Walaupun begitu, pemikiran politik orang Melayu tidaklah begitu. Bukan sifat orang Melayu untuk menjadi terlalu nasionalis ataupun konservatif. Pemikiran politik orang Melayu, seperti dalam mana-mana masyarakat, meliputi spektrum yang luas dari kiri hingga kanan, dan tidak boleh digeneralisasikan secara mudah sebagai far-right atau far-left.

Terdapat pelbagai pandangan politik dalam kalangan orang Melayu dan corak pemikiran ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti budaya, agama, pendidikan serta pengalaman hidup. Justeru itu, tidak semua orang Melayu mempunyai pandangan politik yang seragam.

Namun yang jelas, reaksi politik mereka menerusi pola pengundian dan gelombang perubahan selepas PRU14, PRU15 dan PRN dilihat bersandarkan kepada ketakutan mereka dengan kedudukan orang Melayu yang dilihat semakin tidak menguasai kerajaan (baca: kuasa politik) selepas kejatuhan UMNO-BN.

Kerisauan tersebut menjadi faktor utama perubahan pola undi Melayu. Persoalan kiri, kanan atau tengah (centrist) tidak menjadi isu bagi orang Melayu asalkan mereka merasakan hak dan penguasaan politik mereka masih selamat, utuh dan terjamin.

Dua asas pemikiran politik orang Melayu, nasionalisme Melayu dan Islam ini boleh merentas daripada pandangan konservatif hingga ke arah yang lebih progresif. Keanjalan hal tersebut boleh dilentur dalam kalangan orang Melayu asalkan akhirnya ia masih memihak kepada kepentingan orang Melayu secara umum.

Lihat bagaimana UMNO dan Pas masing-masing mampu bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu seperti DAP dan Gerakan dalam sebuah pakatan di sebalik parti tersebut yang dikatakan chauvinis dan ekstrem terhadap orang Melayu. Namun penerangan bahawa mereka mampu dikawal dan atas keperluan strategik politik Melayu-Islam, orang Melayu boleh berkompromi dan menerimanya.

Sebab itu kerangka Barat untuk membaca perspektif ini dalam konteks pola pengundian orang Melayu sebagai far-right tidak tepat. Ia bukan bersifat idealogi tetapi lebih bersifat perkauman (premordial). Isunya lebih kepada kegusaran orang Melayu terhadap kuasa politik mereka berbanding parti politik itu sendiri.

Kegusaran tersebutlah yang menyebabkan orang Melayu memilih PN kerana mereka tiada pilihan selepas melihat UMNO-BN tidak lagi berupaya menjadi pelindung mereka dalam aspek itu dan tidak mempercayai PH sebagai parti orang Melayu.

Orang lebih bimbang tentang masa depan dan kuasa politik mereka sehinggakan boleh memilih mana-mana parti walaupun tahu parti tersebut tidak mempunyai keupayaan dan prestasi yang baik dalam pentadbiran kerana kerisauan tersebut.

Trend ini dijangka berterusan sehingga orang Melayu kembali merasa selamat dan dominan sebagai kuasa politik kerana mereka adalah majoriti dalam negara ini. Isunya bukan kiri atau kanan, tapi orang Melayu hanya mahu sesiapa sahaja asalkan mereka masih menjadi dominan dalam kuasa politik negara.

Pemikiran politik adalah pelbagai dan kompleks, dan tidak boleh digeneralisasikan dengan mudah. Terdapat spektrum pandangan yang luas dalam setiap masyarakat, termasuk dalam kalangan orang Melayu di Malaysia.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca