SETIAP tahun kita menyambut hari kemerdekaan dengan laungan merdeka, perarakan dan pesta bagi merayakan bebasnya negara ini daripada penjajahan negara asing. Kemerdekaan yang dicapai hasil dari perjuangan nenek moyang kita harus diraikan.
Setelah 66 tahun pemerintahan negara ini berada di tangan kita dan 15 kali pilihan raya umum diadakan untuk memilih wakil rakyat untuk mentadbir negara, adakah kita telah memperolehi suatu sistem pilihan raya yang benar-benar demokratik?
Adakah rakyat faham kriteria pilihan raya dan menghayati nilai demokrasi yang sebenar? Hampir 22 juta rakyat negara ini yang berusia 18 tahun ke atas telah didaftarkan secara automatik untuk menjadi pengundi bagi memilih 222 ahli Parlimen dan 600 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap lima tahun sekali.
Terdapat lebih daripada 50 parti politik yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan lebih daripada separuh yang bergerak secara aktif dalam pilihan raya. Pemilihan wakil rakyat adalah bersifat individual di mana pengundi memilih calon perseorangan dan bukannya memilih parti politik yang diwakili oleh calon tersebut.
Namun di negara ini, parti politik memain peranan yang lebih besar bermula dengan penetapan dan penyebaran ideologi politik, pembentukan gabungan atau kerjasama politik antara parti-parti, pemilihan calon, pembentukan kerajaan dan pentadbiran negara. Telah menjadi lumrah, parti-parti politik akan berkompromi semata-mata untuk memenangi pilihan raya ataupun membentuk kerajaan.
Ini jelas menunjukkan bahawa ideologi politik hanyalah untuk memenangi kerusi sama ada Parlimen atau DUN. Budaya politik berkompromi ini membantu untuk mewujudkan kestabilan politik negara.
Namun, adakah kompromi dalam kalangan parti politik ini dihasilkan daripada aspirasi rakyat atau hanya percaturan pemimpin parti-parti politik bagi menjamin kedudukan dan kuasa politik masing-masing?
Malaysia masih dibelenggu oleh undang-undang pilihan raya yang usang. Sistem dan undang-undang pilihan raya yang dicipta semasa zaman pemerintahan British masih diguna pakai tanpa penambahbaikan yang ketara.
Sistem pilihan raya First-Pass-the Post yang diperkenalkan semenjak 1952 dan diamalkan bermula dari PRU Pertama tahun 1959, adalah mudah untuk diterima oleh rakyat pada masa tersebut. Setelah 15 PRU berlalu dan rakyat menjadi lebih matang, masanya telah tiba agar alternatif kepada sistem pilihan raya sedia ada dibincangkan secara lebih mendalam agar keberkesanan sifat demokrasi dan nilai sebenar dari pilihan raya dapat dikecapi oleh seluruh rakyat.
Banyak peraturan pilihan raya yang patut dipinda bagi memudahkan pengundi. Asas utama dalam pengurusan pilihan raya adalah setiap warganegara yang layak harus diberi peluang secukupnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik yang telah dilaksanakan adalah amat memberangsangkan. Alamat tempat tinggal dan alamat mengundi masih menjadi suatu isu yang menimbulkan hasil pilihan raya yang boleh dipertikaikan.
Sebagai contoh, ramai pengundi berdaftar di Kelantan tetapi tinggal di Lembah Kelang, Pulau Pinang atau Johor. Selepas pilihan raya, hanya penduduk tempatan yang akan menghadapi baik atau buruknya hasil daripada pilihan raya tersebut.
Banyak negara maju yang mewajibkan rakyat menukar alamat setiap kali berpindah dan mengundi di tempat tinggal yang tetap. Di Malaysia, undangundang berkaitan dengan tukar alamat tidak pernah dikuatkuasakan dengan tegas. Oleh itu rakyat seolah-olah boleh mengundi di mana mereka suka.
Sempena minggu kemerdekaan ini, pihak bertanggungjawab mengenai urusan pilihan raya, termasuk ahli politik harus memerdekakan pemikiran daripada dibelenggu oleh peraturan yang telah usang supaya sistem dan perjalanan pilihan raya dapat ditambah baik sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Penambahbaikn Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya.
Setiap benda yang dicipta oleh manusia akan hancur dimamah usia, oleh itu langkah pembaikan bagi sistem dan undang-undang pilihan raya harus ditambah baik sebelum ia hancur.
*Amerul Muner Mohammad ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya, JPM serta Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy
Klik di sini untuk terus membaca