PADA dasawarsa 1960-an, iklan rokok bukanlah satu perkara yang ganjil di tepi-tepi jalan di Semenanjung Malaysia. Walaupun iklan arak tidak begitu berleluasa, ia wujud di tempat-tempat awam. Sebahagian politikus, guru dan profesional Melayu... Klik di sini untuk terus membaca

PADA dasawarsa 1960-an, iklan rokok bukanlah satu perkara yang ganjil di tepi-tepi jalan di Semenanjung Malaysia. Walaupun iklan arak tidak begitu berleluasa, ia wujud di tempat-tempat awam.

Sebahagian politikus, guru dan profesional Melayu Islam boleh dilihat berleluasa menghisap rokok pada bila-bila masa, dan juga meminum arak di majlis-majlis umum.

Pengambilan dadah atau ganja mula menular pada dasawarsa itu juga. Secara rahsia ada kawan-kawan sekolah kami yang mula mengambilnya dalam majlis atau kelompok kecil.

Berkaitan dengan rokok wujud sekurang-kurangnya tiga jenis keluarga ketika itu.

Pertama ialah keluarga yang terdiri daripada ketua dan ahli keluarga yang bukan perokok, atau mereka antimerokok. Kedua ialah keluarga yang terdiri daripada ketua dan ahli keluarga yang perokok. Ketiga ialah keluarga yang terdiri daripada ketua dan ahli keluarga yang perokok tetapi cuba berhenti merokok. Kempen antimerokok belum menjadi satu trend pada dasawarsa 1960-an.

Alhamdulillah saya datang daripada keluarga yang tidak meminum arak dan tidak juga merokok, serta menjaga solat lima waktu.

Ayah ialah guru Melayu dan kemudian sebagai penolong pensyarah di maktab perguruan di Johor Baharu sebelum beliau pencen, dikenali sebagai insan berdisiplin yang garang. Ini di samping pencapaiannya yang tinggi sebagai sejarawan Johor dan sasterawan Melayu.

Ibu ialah seorang suri rumah yang berkelulusan Darjah Lima, berpendidikan asas agama, bahasa Melayu dan Inggeris yang sangat menjaga agamanya. Beliau mengingatkan anak-anaknya supaya jangan merokok, jangan meminum arak dan sudah tentu, jauhkan diri daripada dadah. Kami anak-anak sedar bahawa itulah antara doanya yang dimakbulkan Tuhan kerana kami tidak melakukan semua itu.

Ada ketika, kami para remaja yang datang daripada keluarga jenis yang tidak merokok cuba merokok. Ada yang terbabas dan menjadi ketagih rokok, dan ada yang tidak menikmati merokok. Pengalaman merokok tidak sampai 10 batang atau setengah puntung rokok sewaktu Tingkatan Enam Bawah dan Atas, tidak menyeronokkan bagi saya, Malahan ia memualkan.

Sewaktu mula melangkah masuk universiti di Mesir, apabila kami pelajar-pelajar Malaysia di Mesir mendalami pemikiran serta perjuangan Ikhwan Muslimin, ajaran Imam Hasan al-Banna pengasas Ikhwan tentang amalan Islam yang holistik memberi motivasi yang hebat.

Antara ajaran sang syahid al-Banna ialah pesanan keempat daripada senarai 38 kewajipan pendakwah, yakni sama sekali jangan merokok. Sebelum itu pun sewaktu baharu sampai di Mesir, ajaran tariqat sufi yang saya ikuti sekitar setahun menyuruh pengikutnya supaya menjauhkan rokok dan arak.

Banyak tahun kemudian setelah saya menjadi seorang doktor, mudah saya memujuk dan berkempen kepada pesakit saya yang merokok supaya berhenti merokok, kerana saya sendiri tidak merokok.

Saya diamanahkan untuk menyandang tugas Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 9 Julai 2018. Sekitar tiga bulan kemudian, saya telah mengarahkan supaya merokok dilarang di kompleks DBP di Kuala Lumpur. Arahan itu telah dipatuhi serta-merta.

Pada 27 Julai 2022, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok pada tahun 2020 berbanding kutipan cukai produk tembakau RM3 bilion. Kos rawatan itu dijangka meningkat sehingga RM8.8 bilion menjelang tahun 2030.

Sejak lebih satu dasawarsa lalu, pakar-pakar di seluruh dunia serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mencanangkan idea tentang Tobacco Endgame. Ia merujuk kepada fasa penamat penggunaan tembakau iaitu penurunan peratusan merokok dalam kalangan penduduk sesebuah negara sehingga mencapai kurang daripada lima peratus.

Hukum merokok itu haram menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 1995, dan menghisap vape juga haram menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 2015.

Adakah kita peduli?

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah pakar psikiatri dan penulis

Klik di sini untuk terus membaca