SHAH ALAM - Masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan yang harganya lebih murah kerana dikawal kerajaan terus berlarutan disebabkan permintaan yang tinggi dan pada masa sama harga beras putih import semakin meningkat.
Tinjauan Sinar Ahad di beberapa kedai runcit sekitar Lembah Klang mendapati mereka berdepan situasi tersebut sejak lebih tiga bulan lalu.
Seorang peniaga dikenali sebagai Firdaus, 28, berkata, pembekal berdepan kesukaran membekalkan banyak stok beras tempatan yang cepat habis.
"Stok beras tempatan sekarang memang tidak banyak. Harga beras tempatan kini biasanya dalam lingkungan RM13.50 hingga RM14 untuk 5kg.
"Buat masa ini, kita hanya ada beras import yang dijual antara RM16 dan RM18 bagi kampit 5kg.
"Beras tempatan memang cepat habis kerana biasanya dibeli oleh peniaga kedai makanan dan penduduk di sini,” katanya kepada Sinar Ahad.
Dalam pada itu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memaklumkan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu dari RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa Jumaat lalu.
Sementara itu, peniaga dikenali sebagai Kassim, 46, berkata, masalah bekalan beras tempatan turut berlaku di kedainya memandangkan beras import makin mahal.
Ujar Kassim, beras import 10kg yang dulu dijual pada harga RM26 kini telah meningkat kepada RM30.90.
"Untuk beras import 5kg kita jual dari harga RM15.90 hingga RM19 bergantung kepada jenama,” ujarnya.
Dalam pada itu, peniaga dikenali sebagai Nur, 30, berkata, pembeli sudah pasti akan memilih beras tempatan sebagai langkah jimat cermat.
"Memang ramai pelanggan yang mengeluh tanya kenapa harga beras naik, tetapi kita sebagai peniaga nak buat macam mana.
"Kita jual pun ikut harga yang ditulis pada kampit beras itu. Buat masa ini kita masih ada bekalan beras tempatan tetapi tidak banyak,” ulasnya.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin memaklumkan, selain masalah kenaikan harga beras import, ketika ini negara juga sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan beras Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5).
Pasar raya Mydin menjual antara 1,000 hingga 2,000 peket beras sehari namun bekalan yang diterimanya sejak tiga bulan lalu sekitar 50 hingga 100 peket sahaja.
Kenaikan harga beras import ada kaitan dengan langkah India menghentikan eksport beras putih bukan basmati sebagai langkah mengelakkan lonjakan harga bekalan domestik ekoran hujan yang lebat melanda negara itu.
INFO: Bekalan beras negara
Beras import
- Meliputi 30 peratus daripada keperluan negara.
- 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras diimport setiap tahun.
- Sumber beras import Malaysia adalah dari India, Myanmar, Kemboja, Pakistan, Thailand, dan Vietnam.
Punca beras import naik harga
- Sekatan eksport oleh negara-negara pengeluar beras. India misalnya menghentikan eksport beras putih bukan basmati Julai lalu susulan kekurangan stok dalam negara tersebut.
- Peningkatan kadar inflasi global ekoran kenaikan harga baja dan kos logistik serta pengangkutan.
- Kenaikan nilai tukaran mata wang tempatan terhadap mata wang asing.
- Kenaikan kos buruh.
- Perubahan iklim seperti fenomena El Nino menyebabkan tanaman rosak atau tidak menjadi.
Perbandingan harga:
Beras tempatan 10 kilogram
- Faiza Emas Special Tempatan: RM26
- Jasmine Super Green: RM28
- Jasmine Super Special Tempatan: RM28.90
- Cap Rambutan Super Special Tempatan: RM29.70
Beras import 10 kilogram
- Faiza Emas Beras Putih Import: RM29
- Jasmine Super5 Import: RM31.50
- Jasmine Super Special Import: RM37.90
- Cap Rambutan Super Import Biru: RM35.90
Nota: Hanya harga beras tempatan yang dikawal oleh kerajaan.
Klik di sini untuk terus membaca