PENERBITAN Peta Standard China Edisi 2023, yang meliputi kawasan maritim Malaysia dan negara-negara ASEAN lain bukanlah perkara baharu. Peta ini meneruskan penegasan China kepada Nine Dash Line (NDL) yang telah diterbitkan oleh China pada... Klik di sini untuk terus membaca

PENERBITAN Peta Standard China Edisi 2023, yang meliputi kawasan maritim Malaysia dan negara-negara ASEAN lain bukanlah perkara baharu. Peta ini meneruskan penegasan China kepada Nine Dash Line (NDL) yang telah diterbitkan oleh China pada tahun 1952.

Dua minggu lalu ruangan ini telah menulis tentang bahaya sikap negara China yang bertindak sebagai pembuli Laut China Selatan (LCS). China bukan sahaja tidak menerima keputusan Timbang Tara The Hague, malah tenteranya melakukan tembakan provokasi menggunakan meriam air ke atas kapal Filipina dan Vietnam.

Lebih membimbangkan terdapat banyak laporan dari penganalisis keselamatan di LCS yang menyatakan China telah menghantar kapal-kapal ‘perisikan laut’ mereka ke dalam kawasan maritim Malaysia. China sedikit demi sedikit mula mengeluarkan semula kukunya sejak kematian komunisme.

Setelah meletak jerat ekonomi menerusi pembangunan mega, China mula menuntut perluasan wilayah dengan lebih agresif. India, Taiwan, Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei adalah dalam sasaran perluasan wilayah mereka.

Menyedari tidak mampu menyaingi China dari segi ketenteraan, Filipina dan Vietnam mula mengambil inisiatif mendapat simpati antarabangsa. Sejak beberapa bulan lalu Filipina konsisten menggunakan media dan media sosial untuk mendedahkan tindakan melampau China di LCS.

Vietnam pula menjadi tumpuan antarabangsa apabila mengharamkan filem Barbie. Filem tersebut diharamkan kerana adegan yang memaparkan peta LCS yang berdasarkan tuntutan NDL China.

Bagi kebanyakan orang langkah tersebut mungkin tampak kebudak-budakan. Namun tindakan pengharaman tersebut bukan sahaja menjadi buah mulut dunia dan menyedarkan negara lain mengenai sikap China.

Bagi sebahagian rakyat negara ini, kuasa wang Yuan telah membantu mereka melupakan hakikat China pernah menaja Parti Komunis Malaya dan meninggalkan parut yang mendalam kepada kedaulatan negara.

Terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan cadangan Zon Kewangan Khas di Forest City yang dibangunkan oleh Country Garden Malaysia.

Pemaju ini merupakan syarikat subsidiari kepada pemaju dari China, Country Garden Holdings yang kini berhadapan krisis kewangan dan mungkin memerlukan bail-out di negaranya.

Untuk berlaku adil kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan beliau yang mewujudkan kebergantungan ekonomi kepada China ini. Malahan bukan salah mana-mana Perdana Menteri merebut kemakmuran ekonomi China.

Negara itu telah muncul sebagai kuasa ekonomi dunia sehingga menyukarkan Malaysia menolak hubungan ekonomi yang besar ini.

China memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, dari nilai dagangan, pelaburan pengilangan, pembangunan infrastruktur awam mega, teknologi pintar sehinggalah kepada projek hartanah bertaraf antarabangsa.

Eksport Sarawak ke China pada tahun lalu sahaja bernilai RM24.6 bilion bagi barangan merangkumi gas asli cecair, bahan kimia, mineral dan minyak masak. Kuasa ekonomi sebesar ini memang perlu ditangani secara berhati-hati.

Justeru tidak hairanlah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, turut cuba merendahkan suhu perbalahan ini dengan menyatakan bahawa pengeluaran peta itu tidak memberi kesan kepada Sarawak.

Lebih mengejutkan di sebalik tuntutan sempadan maritim oleh China sejak berdekad lalu, kerajaan Sarawak telah menerima tajaan teknologi kecerdasan buatan (AI) milik Huawei untuk diletakkan dalam hutan Sarawak menerusi projek Protecting Malaysia’s Sarawak Rainforest with Technology.

Apakah para pemimpin politik dan pembuat dasar tidak sedar banyak negara bahawa syarikat terbabit berkemungkinan membantu pengintipan China melalui teknologi 5G?

Jangan kerana mahu menjimatkan kos atau mendapat sesuatu dengan percuma maka kedaulatan dan keselamatan negara terdedah kepada negara yang ada konflik sempadan dengan kita.

Mungkin mereka ini lupa mengenai peribahasa Melayu seperti, ‘masakan tempua bersarang rendah’, ‘ada udang di sebalik batu’ dan ‘telunjuk lurus kelingking berkait’. Kata pepatah Inggeris, ‘there's no such thing as a free lunch’.

Jika kita mahu terus mempertahankan kedaulatan negara, kebergantungan kepada ekonomi dan teknologi China harus diganti dengan penerokaan rakan strategik baharu. Kita tidak boleh bersangka baik dengan jiran kaya yang menuntut kawasan kita. Lambat-laun ia akan memerangkap kita.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca