SHAH ALAM - Memperkenalkan mata wang baharu di peringkat negeri bukan satu langkah yang tepat untuk menangani krisis ekonomi negara. Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Memperkenalkan mata wang baharu di peringkat negeri bukan satu langkah yang tepat untuk menangani krisis ekonomi negara.

Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, jika tersilap percaturan ia akan mendatangkan keburukan kepada ekonomi negeri berkenaan.

Menurut Mohd Faisol, memperkenalkan mata wang baharu akan menimbulkan kejanggalan dalam hubungan perdagangan bukan sahaja di peringkat dalam negeri bahkan sehingga luar negara.

"Malaysia merupakan sebuah negara yang menggunakan mata wang Ringgit Malaysia (RM) dan kebanyakan pelaburan atau perdagangan dilakukan menerusi RM.

"Keadaan ini (memperkenalkan mata wang baharu) akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pedagang luar yang mempunyai hubungan import, eksport dengan negeri tersebut terutama mengenai keabsahan dan kekuatan mata wang negeri berkenaan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mohd Faisol memberitahu, setiap mata wang yang diperkenalkan perlu mempunyai sandaran terhadap sesuatu agar tidak timbul keraguan sekali gus membuktikan bahawa ia mempunyai kekuatan.

"Sekiranya proses memperkenalkan mata wang itu tidak mempunyai sandaran yang kukuh, ia akan mengakibatkan perdagangan seperti import dan eksport terganggu.

"Keadaan itu akhirnya akan memberikan kesan negatif kepada kadar pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” tegasnya.

Jelas beliau, memperkenalkan mata wang negeri bukan suatu perkara yang mudah sebaliknya ia perlu melibatkan kajian mendalam dan bersifat holistik bukan sementara.

Pada Jumaat, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membayangkan kemungkinan Sarawak bakal memperkenalkan mata wang sendiri susulan ekonomi yang tidak menentu di Malaysia.

Beliau berkata, ia antara langkah yang boleh dipertimbangkan jika ekonomi kurang memberangsangkan masih berterusan.

"Jika ekonomi Sarawak begitu baik namun ekonomi negara sebaliknya, mungkin negeri ini akan mempunyai mata wang sendiri. Saya berharap orang ramai tidak menggelarnya pengkhianat negara.

"Tetapi saya bercakap dengan serius. Jika kita begitu baik dalam membangunkan ekonomi, secara pengiraan ekonomi negara sepatutnya kukuh,” katanya dalam siaran podcast khas dengan Bual Studio dan Reka Sound untuk Merdeka dan Hari Malaysia bertajuk ‘Dari Malaya ke Malaysia: 60 Tahun’.

Alexander yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak menegaskan bahawa pendapatan keseluruhan termasuk ekonomi Sarawak meningkat tetapi perlu dianalisis dengan lebih terperinci tahap kehidupan rakyat sebelum melaksanakannya.

"Jika Sarawak lebih baik daripada yang lain, kenapa tidak? Ini yang saya cuba tekankan. Bagaimanapun, apabila meneliti pendapatan per kapita, ternyata masih terdapat kawasan di mana rakyat terus mengalami kemiskinan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca