SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meletakkan kepercayaan tinggi kepada Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk memikul jawatan sebagai Peguam Negara kerana memiliki rekod integriti yang baik.
Naib Presidennya, Zairudin Hashim berkata, beliau percaya pelantikan tersebut dilakukan berdasarkan pengalaman luas dan pengetahuan mendalam berhubung undang-undang negara.
"ABIM mengucapkan tahniah dan mendoakan agar Ahmad Terrirudin terus bekerja dengan telus dan tekun serta meneliti kesemua proses pendakwaan tanpa mengira parti.
"Memegang jawatan sebagai Peguam Negara perlu mempunyai prinsip amanah dan adil dalam menjalankan tugas demi memelihara integriti dan kedaulatan undang-undang, selain mengelakkan berlakunya campur tangan pihak luar,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat media melaporkan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September ini.
Mengulas lanjut, Zairudin turut menggesa agar kerajaan melakukan kajian empirikal yang komprehensif berkenaan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya agar ia dapat dimuktamadkan.
Katanya, pengasingan kuasa tersebut akan memartabatkan lagi ketelusan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
"Meskipun pelaksanaan (pengasingan kuasa) akan melibatkan kos tinggi dan kira-kira 19 undang-undang sedia ada serta Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi melaksanakan pengasingan kuasa tersebut.
"Sekiranya Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memberi nasihat kepada kerajaan dan memulakan sebarang prosiding salah laku mana-mana pihak, maka (Peguam Negara) berada dalam konflik atau kepentingan berat sebelah,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca