KERUSI Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menjadi kosong selepas Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu. Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 dan enam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, pilihan raya kecil (PRK ) ini menjadi pertama dan kedua selepas PRU15.
Ini merupakan kali ketiga Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) akan duji kekuatannya sejak PRU15. Kali pertama, di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman; kedua di PRN enam negeri dan kini di Pulai dan Simpang Jeram.
Bagi Perikatan Nasional (PN), sudah pasti ia mahu melihat jika mampu memenangi kerusi ini selepas menang selesa di Terengganu, Kelantan dam Kedah serta membolosi kekuatan PH-BN di Pulau Pinang dan Selangor. Namun, gelombang ‘hijau’ tersekat di Negeri Sembilan.
Beberapa perkara perlu diberikan tumpuan untuk memberi makna ke atas PRK ini. Antaranya, sejauh manakah kerjasama PH-BN sudah dikemaskini dan boleh disalur melalui undian ‘kalih bagi sama’ walaupun keazamannya dipamer oleh kepimpinan atasan.
Ia juga melihat beberapa pemimpin yang digantung termasuk Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Hasni Mohamed bersedia untuk membantu calon PH-BN demi kelangsungan politik siasah nasional atau sabotaj dalaman akan berlarutan dengan undi protes membesar.
Ia juga penting buat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN yang pernah menjadi Menteri Besar Johor dan kini menyandang kerusi Pagoh di Johor.
Bilamana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa politik hasutan dan fitnah perlu dihentikan, ia juga akan menguji kesediaan penyokong PH untuk keluar mengundi beramai-ramai di samping pengundi BN untuk menunjukkan solidariti dan simpati ke atas pemergian Salahuddin.
Walaupun keputusan PRK Parlimen dan DUN ini tidak akan mengganggu ‘politik angka’ sedia ada, kekalahan PH-BN boleh mengurangkan majoriti dua pertiga yang dimilikinya kini. Mood politik kepartian jelas semakin berkembang apatah lagi strategi Pas yakni ‘senyap dan tawan’ dengan elemen tarbiah, siasah dan dakwah tidak boleh diketepikan.
Politik identiti yang juga sudah menjadi permainan utama dalam pertembungan di arena politik turut menjadi tumpuan di samping politik nasional yang dimainkan sewaktu berkempen.
Budaya politik bangsa Johor agak berbeza. Naratif dan artikulasi dalam parameter nilai budaya ini adalah refleksi ke atas nilai kearifan politik tempatan. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ada menyatakan bahawa ‘jangan disebabkan keghairahan nak berkempen, terpengaruh dengan cara kawan negeri lain.
Johor ada cara Johor dan Bangsa Johor sangat tahu apa yang saya maksudkan itu’. Oleh kerana PRK ini diadakan serentak dan di kawasan yang bersebelahan, jentera kesemua parti politik tertumpu di sini. Hatta, jentera memainkan peranan sangat besar untuk dinilai keputusan pada 9 September 2023 nanti.
Keputusan PRK ini banyak bergantung kepada peratusan yang keluar mengundi. Apabila PN mengubah dari calon bukan Melayu di PRU15 kepada calon Melayu, ia bertujuan untuk menarik sokongan pengundi tegar PH dan BN.
Ia juga akan melihat kesediaan pengundi tegar PH dan BN keluar untuk mengundi, jangkaan undi protes dan pengundi atas pagar.
Kerusi PRK ini adalah kerusi bercampur, misalnya pengundi Melayu di Pulai adalah 44.17 peratus (%); Cina 40.47%, India 12.30% dan lain-lain 3.05%. Trend pengundian mengikut etnik dan parti memberi justifikasi ke atas keputusan akhir. Begitu juga dengan rata-rata pengundi berumur 21-29 mendominasi dengan 21.05% di Pulai dan 22.69% di Simpang Jeram manakala pengundi berumur 30-39 adalah 20.54% dan 23.10% masing-masing.
Ini sekali gus menunjukkan bahawa politik identiti dan faktor umur boleh mempengaruhi pola gelagat pengundian di PRK ini. Tarikh 9 September 2023 berbaki enam hari, barangkali kekuatan jentera, kewibawaan pemujukan calon dan mengurus isu akan diperhatikan rapi kerana setiap undi amat berharga di PRK ini.
* Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca