ANAK menggantikan bapa untuk mengambil alih tampuk pemerintahan di sesebuah negara diamalkan secara meluas dalam sistem monarki mutlak sebelum kemunculan demokrasi. Masih ada negara yang berpegang kepada tradisi menyerahkan kuasa secara warisan ini. Tetapi bilangannya boleh dikira dengan jari.
Di banyak negara demokrasi diterima sebagai kaedah menentukan siapa yang menjadi penguasa melalui pilihan raya. Pemerintahan monarki mutlak telah dinyahkan ke dalam tong sampah sejarah.
Di negara-negara demokrasi yang ingin mempertahankan sistem monarki, mereka memilih jalan tengah dengan memperkenalkan sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan. Di bawah sistem tersebut rakyat dan raja berkongsi kuasa.
Raja bertindak sebagai ketua negara atau ketua negeri, manakala kuasa eksekutif atau kerajaan dan badan legislatif dipilih oleh rakyat dengan gelaran perdana menteri atau menteri besar dan ketua menteri sebagai kepalanya.
Pengagihan kuasa yang jelas antara raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dinyatakan dalam undang-undang tubuh negara berkenaan. Dalam banyak hal, raja bertindak mengikut nasihat. Malaysia adalah contoh negara yang masih mengamalkan pemerintahan raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen itu.
Tetapi demokrasi juga tidak menyekat anak-anak kepada para pemimpin politik untuk menggantikan bapa mereka sebagai perdana menteri atau presiden. Dengan kata lain, demokrasi juga boleh diperalatkan untuk mewujudkan apa yang dipanggil sebagai dinasti politik. Oleh kerana penggantian itu dilakukan menurut proses demokrasi dan tidak berlaku serta-merta berikutan kematian atau peletakan jawatan si bapa dalam politik, maka amalan itu dilihat tidak bercanggah dengan kehendak suara terbanyak.
Lazimnya si anak akan melalui proses politik tertentu di dalam parti dan kerajaan terlebih dahulu, sebelum diangkat sebagai perdana menteri atau presiden. Di negara ini anak-anak pemimpin politik yang mengikut jejak bapa masing-masing untuk menyertai politik menjadi ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri juga berlaku. Ada yang sampai diangkat sebagai menteri.
Tidak syak lagi pencapaian Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengikut jejak bapanya menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, 33 tahun selepas Allahyarham Tun Abdul Razak iaitu Perdana Menteri kedua Malaysia meninggal dunia pada tahun 1976 adalah contoh klasik kewujudan dinasti politik di negara ini.
Tentunya, dinasti politik yang dibenarkan oleh demokrasi ini berlaku di negara-negara lain juga. Menerusi demokrasi, Megawati Soekarnoputri, pernah menjadi Presiden Republik Indonesia kelima antara 2001 hingga 2004 mengikut jejak bapanya, Soekarno yang merupakan Presiden pertama. Di Singapura, Lee Hsien Loong turut mengikut jejak bapanya, Lee Kuan Yew sebagai Perdana Menteri ketiga republik itu menggantikan Goh Chok Tong pada 2004.
Di Amerika Syarikat pula, anak dan bapa yang pernah menjadi Presiden ialah John Adams dan John Quincy Adams diikuti oleh George H.W Bush dan anaknya George W. Bush. John Adams merupakan Presiden kedua negara Uncle Sam itu antara tahun 1797 hingga 1801 manakala anaknya Quincy Adams menjadi Presiden keenam pada 1825 hingga 1829. George Bush Sr menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-41 pada 1989 hingga 1993 manakala anak Bush Jr menjadi Presiden ke-43 antara 2001 hingga 2009.
Di Kanada, Perdana Menteri yang sedia ada, Justin Pierre James Trudeau turut mengikut jejak bapanya menjadi Perdana Menteri pada tahun 2015. Bapanya, Pierre Trudeau merupakan Perdana Menteri Kanada yang ke-15 antara 1968 hingga 1979 dan 1980 hingga 1984.
Sudah tentu contoh klasik anak menggantikan bapa sebagai Perdana Menteri, tanpa menunggu lama, berlaku di Kemboja bulan lalu. Di negara tersebut, Hun Sen yang menjadi Perdana Menteri sejak 1985 mengumumkan peletakan jawatan selepas mengemudi partinya meraih kejayaan cemerlang dalam pilihan raya. Beliau mengumumkan anak beliau, Hun Manet sebagai Perdana Menteri baharu Kemboja berkuat kuasa pada 22 Ogos 2023.
Percayalah memperalatkan demokrasi untuk mewujudkan dinasti politik ini akan terus berlaku kerana demokrasi itu sendiri bukanlah mekanisme memilih pemimpin yang sempurna. Bak kata Winston Churchill, Perdana Menteri Britain, demokrasi adalah satu bentuk kerajaan yang jelik, tetapi apabila dibandingkan dengan bentuk-bentuk kerajaan lain yang pernah dicuba sebelum ini, demokrasi adalah lebih baik.
* Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual.
Klik di sini untuk terus membaca