SEPERTI yang telah dilaporkan dengan meluas oleh media massa, kontrak penyajian makanan antara Malaysia Aviation Group (MAG) dan Brahim’s Holdings Berhad telah berakhir 1 September.
MAG adalah syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan Brahim’s adalah pembekal utama makanan dalam kapal terbang kepada MAS.
Dengan pengakhiran kontrak itu, MAG akan menyediakan sendiri sajian untuk syarikat-syarikat penerbangannya.
Kontrak dengan Brahim’s yang ditamatkan itu bukan perkara baharu. Ia sudah berkuat kuasa selama 20 tahun, bermula 2003. Sebelum itu, MAS menyediakan sendiri sajian.
Episod ini bermula apabila pengusaha makanan, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi, melalui syarikat miliknya, Fahim Capital Sdn Bhd, berpakat dengan LSG Asia GmbH, sebuah syarikat penyajian makanan udara German, bagi menubuhkan Brahim’s–LSG Sky Chefs Holdings Sdn Bhd (BLH).
Syarikat usaha sama itu kemudian mengambil alih 70 peratus saham MAS Catering Sdn Bhd dan menukar namanya kepada LSGB. Jadi Brahim’s ini asal usulnya adalah usaha niaga milik MAS. Rekod menunjukkan MAS sepanjang masa mengekalkan 30 peratus saham dalam syarikat itu.
LSGB kemudian menandatangani perjanjian penyajian jangka panjang 25 tahun, sehingga 2028 dengan MAS. Sejak itu, LSGB telah melalui beberapa pertukaran pemegang saham, penyusunan semula korporat dan pertukaran nama. Nama terakhirnya adalah Brahim’s Airline Catering Holdings Sdn Bhd (BACH).
Pandemik Covid-19 yang bermula awal 2020 dan pelaksanaan kawalan pergerakan di seluruh dunia memberi kesan buruk kepada ekonomi global.
Peristiwa tersebut adalah antara penyumbang kepada masalah kewangan yang dihadapi oleh BACH sehingga menyebabkan penyenaraiannya di Bursa Malaysia dibatalkan tahun lalu.
Daripada apa yang saya fahami, MAG tidak bercadang menamatkan kontrak dengan BACH cuma merundingkan semula syarat-syarat kontrak itu selaras rancangan pemulihannya sendiri.
Malah MAG dikatakan bersetuju menaikkan kadar bayaran kepada BACH tetapi gagal mencapai persetujuan berkaitan klausa penamatan. MAG mengumumkan yang ia kini bekerjasama dengan lapan pembekal sajian udara bagi menggantikan BACH.
Kesimpulan kepada episod ini adalah, syarikat yang diberikan kontrak jangka panjang yang lumayan serta terjamin hendaklah berusaha keras memenuhi tanggungjawabnya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 25 Ogos lalu, mengumumkan taraf Zon Khas Kewangan untuk Forest City di Johor.
Tindakan ini pastinya membantu projek usaha sama Malaysia-China yang sedang mengalami masalah itu. Dalam bahasa Inggeris, ia bolehlah diungkapkan sebagai giving a leg up. Maksudnya tolong angkat sebelah kaki supaya boleh berdiri.
Seperti sudah dilaporkan dengan meluas, projek hartanah raksasa tersebut sedang dalam kesusahan berikutan Covid-19 dan tindakan Kerajaan China menyekat pengaliran keluar wang.
Ia adalah usaha sama antara syarikat hartanah China, Country Garden Holdings yang memegang 60 peratus saham dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd 40 peratus.
Laporan yang memetik rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar adalah pemegang saham utama Esplanade dengan 1,998 unit saham atau 99.9 peratus. Country Garden sedang menghadapi masalah kewangan yang teruk. Ia melaporkan kerugian separuh pertama tahun ini sebanyak AS$6.7 bilion (kira-kira RM30.8 bilion) dan tanggungan hutang AS$150 bilion (RM690 bilion).
Kita kena faham dan pantau layanan istimewa, luar biasa dan luar jangkaan ini kerana Forest City ini dirangka, direka dan dibina bermatlamatkan pembeli asing, khususnya China.
Laporan akhbar Straits Times Singapura pada bulan Ogos 2018 berkata, pembeli China merupakan dua pertiga daripada pemilik hartanah Forest City. Yang lain adalah dari Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan. Hanya 20 peratus pembeli rakyat tempatan.
Lagi pun kita sudah ada Labuan sebagai Pusat Kewangan Pesisir Pantai dan adalah tidak wajar memberi layanan istimewa kepada pelabur asing yang bermasalah.
Kesimpulan kepada perkembangan ini adalah, kita kena berhati-hati dan fikir semula kaedah kerjasama ekonomi dan pelaburan dengan China.
Kerajaan tidak patut membuka floodgate dengan memberi layanan istimewa kepada projek-projek yang keutamaannya bukan rakyat jelata kita sendiri.
Apatah lagi projek-projek yang diketahui umum sedang mengalami isu kewangan.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca