KEMELUT dan kesukaran peniaga kecil khususnya peniaga Melayu dalam menghadapi pusingan modal bukan lagi perkara baharu menyebabkan ada segelintir mereka terpaksa mengambil jalan singkat, meminjam daripada along.
Situasi itu menyebabkan ada sesetengah mereka terperangkap apabila gagal menjelaskan pinjaman menyebabkan hidup mula dibelenggu pelbagai masalah dan tekanan hidup.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Pahang, Hassanuddin Salim, perkara itu antara yang mendapat perhatiannya kerana peniaga kecil juga penyumbang ekonomi kepada negara.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, ROSILAWATI ROSEDI bersama Hassanuddin bagi mengulas isu peniaga kecil dan lain-lain isu di kawasan DUN yang diwakilinya.
SINAR HARIAN: Difahamkan Yang Berhormat (YB) selalu mendapat aduan daripada peniaga-peniaga kecil khususnya peniaga Melayu yang berdepan pelbagai cabaran. Boleh YB ceritakan keluhan dan masalah dihadapi mereka?
HASSANUDDIN: Ya, saya sudah mendapat beberapa aduan daripada peniaga-peniaga kecil khususnya Melayu yang datang sendiri ke pejabat mengemukakan masalah mereka. Majoriti aduan yang diterima, mereka berdepan masalah pusingan modal segera menyebabkan terpaksa pinjam along. Ada seorang peniaga kedai makan, bayar secara mingguan, dia dakwa sudah bayar tapi tetap kena ganggu along, selerakkan barang di gerai hampir setiap bulan dan kena ugut secara berterusan.
Saya melihat situasi ini perlu dihentikan segera kerana masa kini, mereka yang terlibat sudah menjadi hamba iaitu penghambaan secara moden, terikat hingga kad bank pun dipegang oleh along.
Setakat ini, saya banyak menerima panggilan dan mesej daripada golongan ini yang memohon pertolongan malah ada terima panggilan dari dari Terengganu.
Perkara pertama, saya nasihatkan mereka apabila menerima gangguan along supaya membuat laporan polis demi keselamatan diri kerana soal pinjaman walau macam mana pun tetap kena bayar.
Kalau nak berurusan dengan along secara langsung, memang saya tidak mampu, jadi saya diberitahu masalah sedemikian boleh minta rujuk kepada konsultan.
Ada peniaga yang sudah rujuk masalah yang mereka hadapi dengan konsultan, pinjaman tetap kena bayar cuma mereka tidak perlu berurusan terus dengan along, konsultan yang uruskan. Memang ada caj dikenakan oleh konsultan terlibat.
--SH: Apakah cabaran yang dihadapi YB sepanjang menangani masalah tersebut?
Cabarannya, sudah pasti bab kewangan, saya tidak mampu bantu kalau besar jumlah pinjaman yang dihadapi mereka. Kalau jumlahnya kecil dan termampu, saya tolong. Kalau ugutan daripada along, saya belum terima setakat ini.
Selain itu, sikap mereka yang berdepan masalah ini, ada yang malu untuk mengakui situasi yang dihadapi mereka menyebabkan tidak berani ke depan hingga akhirnya ada yang kita dengar sampai memilih cara bunuh diri kerana terlalu tertekan.
--SH: Di kawasan DUN YB sendiri, bagaimana usaha dan langkah yang telah dan akan diambil dalam menangani isu melibatkan peniaga kecil tersebut?
Saya percaya dengan jaringan masyarakat dan kesedaran orang ramai di negara ini untuk membantu semakin tinggi pada masa kini.
Kita boleh nampak banyak individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu mereka yang terjejas selepas tular kisah pelbagai golongan itu khususnya di laman sosial.
Pelbagai langkah yang boleh digunakan pada zaman kini selain promosi di media sosial mengenai bahaya terjebak dengan along. Saya berharap dengan langkah kecil yang diambil oleh kita di DUN ini sedikit sebanyak boleh membantu orang ramai walaupun mungkin tidak dapat menyelesaikan semuanya.
Contohnya, dalam kes yang diadukan kepada saya, ada peniaga kecil yang dapat bantuan daripada masjid yang membantu melalui kutipan derma bagi menjelaskan pinjaman tersebut. Jadi jangan malu dapatkan bantuan, cari pemimpin setempat, pengerusi masjid dan ketua masyarakat.
--SH: Apakah nasihat YB terhadap peniaga kecil Melayu supaya tidak terperangkap dengan along kerana sudah banyak kes mereka menjadi mangsa seterusnya berdepan masalah lebih besar?
Tolonglah, jangan sama sekali tertarik hendak buat pinjaman dengan along. Ya..saya tahu pinjaman along sangat mudah, boleh dapat begitu cepat berbanding dengan institusi pinjaman lain seperti bank.Tidak ada jalan mudah, kena usaha. Sekali terjebak, memang payah nak keluar, hasil kerja diperah, terikat dengan penghambaan moden hingga akhirnya menjejaskan diri dan keluarga. Banyak lagi kaedah lain yang boleh diusahakan tapi inilah yang jadi masalah, masih ramai peniaga kecil tidak tahu saluran yang boleh digunakan.
--SH: Bagaimana YB melihat langkah dan usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan selama ini dan penambahbaikan yang perlu dilakukan jika mahu nasib peniaga kecil terbela?
Saya akui memang banyak program dan usaha positif yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan selama ini untuk membantu rakyat seperti peniaga-peniaga kecil di negara ini. Cuma yang saya nampak masih ramai tidak tahu saluran yang disediakan oleh kerajaan. Kurang promosi mungkin antara penyebabnya.
Jadi saya lihat pihak-pihak berkaitan perlu kerap tampil ke depan supaya kewujudan mereka diketahui oleh masyarakat. Selain itu, saya harap prosedur sedia ada sedikit dipermudahkan kerana banyak peniaga kecil yang meminjam along sebab mudah, pantas mendapat pinjaman berbanding dengan institusi kewangan sedia ada.
-- PROFIL
Nama: Hassanuddin Salim
Asal: Kampung Loyang, Sanggang,Pahang
Status: Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak
Umur: 55 tahun
Pendidikan: Diploma Ukur Tanah, UiTM Shah Alam
Jawatan:
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pahang
Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Temerloh
Klik di sini untuk terus membaca