SELAIN United Kingdom (UK), ramai orang Malaysia turut memilih Switzerland (Swiss) sebagai destinasi pelancongan utama di benua Eropah.
Selain Geneva dan Zurich, gunung-ganang Swiss seperti Jungfrau, tasik glasier seperti Lausanne serta Brienz dan perkampungan lembah gunung seperti Lauterbrunnen serta Gstaad menawarkan keindahan luar biasa pada setiap musim.
Siapa yang melancong ke sana turut merasai kemesraan dihulur rakyat Swiss melalui sapaan ‘hello’ atau grüezi, cuma apabila berbelanja, semua barang dan perkhidmatan di Swiss terasa amat mahal.
Tandas awam juga perlu dibayar sehingga CHF1 (RM5) setiap orang. Kos sara hidup di Swiss sebenarnya 40 peratus lebih tinggi dari UK. Malah, pengkalan data kos sara hidup terbesar dunia, Numbeo melaporkan Switzerland berada di tangga paling atas berbanding negara Eropah lain.
Anehnya, penduduk Switzerland tidak sedikit pun rasa terbeban dengan kos sara hidup begitu tinggi. Negaranya masih begitu selamat dan jenayah seperti merompak atau mencuri pula hampir tak berlaku. Purata gaji minimum sebanyak CHF4,000 (RM20,000) mungkin menyumbang.
Negara pengeluar susu dan keju yang enak itu juga terus kekal dalam senarai 10 negara paling gembira di dunia.
Rasa itu diperoleh daripada sistem direct democracy yang diamalkan negaranya sejak kurun ke-19. Mereka begitu bangga dengannya sehingga berasakan ia harus dicontohi negara lain juga.
Bagi mereka, tanpa situasi politik yang stabil, tak mungkin ekonomi Swiss berada di tahap sekarang. Malah setiap kali dunia huru-hara dengan krisis ekonomi mahupun keselamatan, Swiss tidaklah begitu teruk terjejas.
Secara umumnya, orang Swiss percaya kepada kebebasan mutlak sebagai manusia. Ahli falsafah Swiss, Jean-Jacques Rousseau pernah berkata no man has any natural authority over his fellow men. Kerana itu, meskipun mereka mengundi wakil mereka untuk menjadi kerajaan, kuasa menentukan hala tuju negara tidak dilepaskan 100 peratus kepada wakil tersebut. Sebaliknya, mereka kekal aktif bersama kerajaan merangka dasar dan undang-undang negara.
Di Swiss, rakyatnya sama ada orang perseorangan atau diwakili organisasi boleh menyuarakan cadangan, pandangan dan bantahan secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan, Negeri (Canton) atau Daerah (Commune) melalui platform yang disediakan kerajaan. Dengan itu, suara kelompok minoriti turut sampai kepada pemimpin di pelbagai peringkat.
Akta dan peraturan yang melindungi kebajikan haiwan dirintis Swiss bermula daripada keprihatinan sekumpulan pencinta haiwan di Schaffhouse yang disalurkan kepada kerajaan Canton. Kuota imigran diamalkan kerajaan Switzerland sejak 2014 juga bermula daripada usul diperjuangkan Swiss People's Party.
Kebiasaannya, apabila ada cadangan atau bantahan terhadap sesuatu dasar, kerajaannya akan membuat usul balas termasuklah menambah baik dasar atau meminda undang-undang yang ada.
Namun, ada ketikanya undian perlu dibuat bagi mencapai kemuafakatan dan persetujuan. Dari 1893 hingga 2014 misalnya, sudah ada 192 inisiatif kerajaan yang melalui proses undian oleh rakyat Swiss.
Dengan cara itu, tiada siapa boleh menuding jari sesama sendiri jika ada dasar gagal membuahkan hasil seperti diharapkan. Direct democracy tentulah jauh berbeza daripada representative democracy yang diamalkan kebanyakan negara di dunia termasuklah UK dan Amerika Syarikat.
Melalui representative democracy, pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya diberi kepercayaan sepenuhnya untuk membuat dasar dan keputusan bagi pihak rakyat.
Itu bermakna, kuasa menentukan hala tuju negara dipusatkan hanya kepada sekumpulan kecil individu. Sekali pandang, tugas rakyat mungkin jauh lebih mudah yakni sekadar memilih wakil mereka ketika pilihan raya.
Tapi hakikatnya, memilih individu yang benar-benar layak, berintegriti dan mendahulukan negara dalam setiap keputusan jauh lebih sukar.
Meninjau pengalaman Swiss, kerajaan mungkin boleh giatkan lagi usaha melibatkan rakyat secara aktif dalam pembuatan dasar dan hala tuju negara, bukan sekadar ketika musim pilihan raya. Rakyat yang didengari adalah rakyat yang happy!
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca