PADA 2 September lalu, Sinar Harian telah menerbitkan satu isu berkaitan pendapatan rakyat yang terjejas ekoran pelbagai cabaran semasa dihadapi ketika ini.
Tinjauan itu merujuk kepada pendapatan pemandu teksi yang amat terjejas di Kuantan, Pahang disebabkan beberapa faktor, antaranya berlaku pengurangan ketara pelanggan kerana penumpang lebih gemar memilih dan menggunakan perkhidmatan e-hailing.
Ada pemandu teksi mengakui sukar memperoleh pendapatan bagi menyara hidup keluarga, bahkan untuk menyara hidup sendiri pun ada masanya tak lepas.
Mengambil contoh, ada pemandu teksi sukar memperoleh pendapatan walaupun RM30 sehari. Kesukaran dihadapi mereka itu bukan sahaja di Kuantan, bahkan berkemungkinan besar hampir sama dirasai pemandu teksi lain di seluruh negara. Situasi semasa pemandu teksi ketika ini tidak memeranjatkan dan boleh dijangka.
Pada 2017, penulis telah membuat kajian sebagai penyelidik bersama – melihat perniagaan pengantaraan dan impaknya terhadap pemandu e-hailing serta pemandu teksi ketika itu. Ia turut mengambil kira setelah beberapa tahun syarikat e-hailing bertapak di Malaysia, khususnya Uber yang memasuki negara seawal 2014.
Sebenarnya pendapatan pemandu teksi telah mula mengalami kemerosotan ketika e-hailing mula meledak di Malaysia sekitar hampir 10 tahun lalu.
Apa yang berlaku hari ini adalah kemuncak kepada kesan berpanjangan teknologi terhadap pemandu teksi. Mengapa sukar pemandu teksi bersaing dengan pemandu e-hailing?
Ia disebabkan teknologi itu dilihat pelanggan sebagai mudah digunakan dan sesuatu yang berguna. Contohnya, dengan hanya meletakkan lokasi destinasi ingin dituju dan menekan beberapa pilihan dalam aplikasi e-hailing, maka pelanggan tidak perlu berjalan jauh menunggu kenderaan untuk mengambil mereka.
Pelanggan juga tidak perlu menunggu lama dan semua maklumat, antaranya pilihan harga perjalanan berdasarkan jenis kenderaan, tempoh masa menunggu dan penjejakan perjalanan pemandu untuk sampai ke tempat menunggu juga dinyatakan dalam aplikasi.
Bahkan, teknologi itu juga boleh digunakan untuk memantau penjejakan perjalanan oleh ibu bapa atau keluarga bagi tujuan keselamatan. Disebabkan faktor yang dilihat mudah digunakan dan berguna menyebabkan amat sukar perkhidmatan teksi bersaing dengan perkhidmatan berasaskan teknologi iaitu e-hailing dan p-hailing.
Pepatah lama bahasa Inggeris ada menyatakan ‘jika anda tidak dapat mengalahkan mereka, maka sertai mereka’.
Amat sukar kita bersaing dengan teknologi dan tentunya ia memberi ancaman besar kepada mereka yang masih menggunakan kaedah tradisional.
Satu-satu cara untuk bersaing adalah dengan menggunakan teknologi dan perlu segera beralih kepada teknologi.
Teknologi adalah perisai kepada ‘tsunami ekonomi’. Ia berupaya menjadi perisai jika rakyat menggunakan kekuatan dan peluang dalam teknologi untuk mengembangkan pekerjaan atau perniagaan masing-masing.
Apa akan terjadi sekiranya pekerjaan lain dan peniaga tidak menggunakan teknologi? Ia bakal menjadi ancaman kepada mereka. Lihat saja bagaimana teknologi memberikan kesan kepada pendapatan pemandu teksi dengan pengenalan e-hailing dan tsunami itu boleh melebar kepada pekerjaan lain serta peniaga.
Teknologi bakal memberikan ancaman kepada lebih banyak pekerjaan dan peniagaan, malah mencetuskan gelombang tsunami ekonomi kepada mereka yang tidak memanfaatkan kekuatan serta kelebihannya.
Tsunami itu hanya boleh diredakan melalui penggunaan semaksimum mungkin teknologi sebagaimana telah dimanfaatkan oleh perniagaan e-dagang seperti Alibaba.com dan JD.com sebelum ini yang telah memperoleh pendapatan lumayan.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca