ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mencadangkan agar beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) disatukan dalam kategori beras putih sahaja.
Timbalan Pengerusi PeSAWAH, Rashid Yob berkata, dengan mencampurkan beras itu, maka satu penetapan harga ideal dapat dicapai, namun ia harus selari dengan kenaikan harga beras dunia.
Selain itu, kerajaan juga wajar mengkaji semula harga siling BPT yang berada pada paras rendah iaitu RM2.60 sekilogram.
"Disebabkan itu, terdapat BPT ditukar kampit kepada BPI supaya dapat dijual lebih mahal bagi mengelak kerugian,” katanya.
Rashid berkata, kos yang meningkat menyebabkan pengilang mahupun pemborong mencari ikhtiar lain bagi menampung kos operasi memandangkan keuntungan diperoleh amat rendah.
"Sebagai contoh, belian padi mentah sekarang RM1,600 satu tan dibahagikan kepada 60 peratus untuk proses kilang, menjadi RM2.70 sekilogram. Ia lebih tinggi daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan, iaitu RM2.60 sekilogram.
"Mana mungkin pengilang atau pemborong menjual pada harga BPT, menyebabkan berlaku penipuan dengan menukar kampit beras ini,” jelas beliau.
Katanya, kebanyakan negara pengeluar beras lain telah menaikkan harga siling BPT namun Malaysia masih kekal pada kadar lama sedangkan kos semakin meningkat.
Ujar Rashid, negara sebenarnya mampu menampung keperluan bekalan beras tempatan namun memerlukan komitmen kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri menerusi peningkatan hasil dalam negara.
Klik di sini untuk terus membaca