SHAH ALAM - Kadar keluar mengundi 70 hingga 75 peratus menjadi perkiraan selamat untuk Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini. Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kadar keluar mengundi 70 hingga 75 peratus menjadi perkiraan selamat untuk Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, perkara itu dibuat dengan mengambil kira demografi pengundi bukan Melayu di Parlimen tersebut melebihi 50 peratus.

"Berdasarkan rekod beberapa siri pilihan raya sebelum ini, pengundi bukan Melayu khususnya Cina dan India merupakan pengundi teras atau tetap kepada PH.

"Jadi, sebab itulah paling penting bagi gabungan tersebut memastikan peratusan keluar mengundi tinggi. Kalau jumlah keluar mengundi rendah, sudah tentu yang akan mendapat kesan paling besar ialah PH.

"Berdasarkan demografi pengundi sama ada mengikut etnik dan juga undi-undi yang diperoleh PH dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya lepas, saya jangka untuk PH selesa (menang) mestilah kadar keluar mengundi 70 hingga 75 peratus.

"Kadar ini (70 hingga 75 peratus) ini sudah memadai kerana kebiasaannya sekitar 30 peratus pengundi lagi berada di luar atas faktor kerjaya dan sebagainya serta kebanyakan yang tidak keluar mengundi merupakan kumpulan tersebut.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari yang mengingatkan pengundi PH di Parlimen Pulai agar mengambil pengajaran berlaku di negerinya apabila kehilangan majoriti dua pertiga disebabkan peratusan keluar mengundi rendah.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, pengundi di Selangor tidak keluar mengundi kerana terlalu yakin PH akan menang dua pertiga majoriti pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, PH-BN juga perlu merangka strategi untuk memastikan tidak berlaku protes daripada pengundi UMNO kerana ia bakal mempengaruhi keputusan PRK itu nanti.

"Walaupun Johor dikatakan agak selamat dalam aspek pengundi teras UMNO berbanding enam negeri yang terlibat dengan PRN tetapi perlu diingat bahawa protes tetap ada.

"Jadi, kebimbangan pada PH-BN mengenai pengundi teras UMNO tidak keluar mengundi ini juga perlu diambil kira kerana tindakan ini sudah tentu akan mengurangkan jumlah undi kepada PH nanti,” katanya.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parlimen Pulai mempunyai sebanyak 166,653 pemilih dengan 165,799 pengundi biasa; 927 terdiri daripada polis dan pasangan serta pengundi tidak hadir (PTH) sebanyak 26 orang.

PRK Parlimen Pulai menyaksikan persaingan tiga penjuru melibatkan calon PH, Suhaizan Kaiat, Zulkifli Jaafar (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi (bebas).

Turut berlangsung serentak PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

SPR menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian 9 September.

Klik di sini untuk terus membaca