SHAH ALAM - Kaji selidik lapangan kumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapati calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Abdul Rahman lebih popular dalam kalangan pengundi dan kini mendahului kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, UTM, Profesor Madya Dr Mazlan Ali, populariti Nazri jauh meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya dan wakil calon Bebas, S Jegananthan.
"Kajian berkenaan menunjukkan calon pilihan paling popular untuk diundi penduduk Simpang Jeram ialah calon PH iaitu sebanyak 56.83 peratus diikuti calon PN sebanyak 27 peratus, calon Bebas 8.0 peratus, manakala 8.17 peratus lagi memboikot semua calon.
"Walaupun hasil kajian menunjukkan PH mendahului, namun data yang dikutip hanyalah membabitkan responden yang bermastautin di kawasan DUN Simpang Jeram dan tidak melibatkan responden luar kawasan (pengundi luar),” katanya kepada Sinar Premium.
Untuk rekod kajian dibuat penyelidik UTM itu diadakan pada 29 hingga 31 Ogos lalu menggunakan kaedah kuantitatif inferensi membabitkan 600 responden dan pengundi mewakili masyarakat pelbagai kaum serta peringkat umur di sekitar DUN Simpang Jerai.
"Justeru, tidak hairanlah jika 79 peratus daripada 600 responden ditemui semasa kaji selidik menyanjung tinggi keperibadian Salahuddin, manakala 72 peratus masih mengingati jasanya memperkenalkan inisiatif Rahmah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
"Hasil kajian berkenaan juga mendapati sebanyak 72.67 peratus responden sedar mengenai kewujudan inisiatif Rahmah, manakala 73 peratus mahu usaha murni Salahuddin diteruskan oleh penggantinya dan Kerajaan Madani pada masa depan,” ujarnya.
Menurut Mazlan, kajian berkenaan juga mendapati majoriti 56.33 peratus responden menyokong penuh PH dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, manakala 26.67 peratus individu lagi tidak bersetuju dengan ‘perkahwinan’ dua musuh ketat politik itu.
Katanya, 55.67 peratus daripada responden berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim popular dalam kalangan pengundi di Simpang Jeram, manakala 28.17 peratus kurang bersetuju dengan pendapat berkenaan.
"Kajian ini juga menunjukkan bahawa 50.83 peratus responden ditemui kumpulan penyelidik UTM menyatakan bahawa mereka akan mengundi calon mewakili Kerajaan Perpaduan di Simpang Jeram berbanding 19.83 peratus mengatakan tidak.
"Hasil kajian ini juga mendapat majoriti penduduk akan keluar mengundi iaitu 70.17 peratus berbanding 13.17 peratus mengatakan tidak,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 66.50 peratus responden juga melahirkan rasa bangga dengan Gagasan Bangsa Johor berbanding 14.67 peratus menidakkannya, dan calon PH dianggap paling menyemai semangat berkenaan sebanyak 57.17 peratus diikuti calon PN, 35.50 peratus kemudian Bebas 7.33 peratus.
PENGHALANG
Dalam pada itu, kajian berkenaan juga menunjukkan calon Bebas mungkin menjadi penghalang kepada wakil PH dan PN untuk menang dengan majoriti selesa dalam PRK DUN Simpang Jeram, 9 September ini.
"Biarpun Jeganathan hampir pasti tewas dalam PRK ini, namun dapatan kajian menunjukkan calon Bebas ini popular di beberapa tempat (bandar dan pinggir bandar) serta dalam kalangan orang India.
"Calon ini boleh menjadi ‘kacau daun’ dengan kemampuan meraih antara 1,500 hingga 1,800 undi pada PRK nanti,” ujarnya.
Mazlan menjelaskan kajian berkenaan menunjukkan responden meletakkan tiga syarat untuk seseorang itu dipilih menjadi wakil rakyat terbaik kepada masyarakat di Simpang Jeram.
"Pertama individu berkenaan mestilah boleh bekerja untuk rakyat (59.67 peratus), kedua mereka boleh menerus usaha dan legasi ditinggalkan oleh Allahyarham Salahuddin Ayub (47 peratus), kemudian orang tempatan (46.50 peratus),” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca