SHAH ALAM - Amalan monopoli dalam sesetengah industri di negara ini perlu dipecahkan bagi membuka peluang kepada pemain industri terlibat bersaing untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan selain mampu memberi pilihan harga kepada pengguna.
Bagi industri padi dan beras, Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berpandangan, institusi kewangan Islam seperti lembaga zakat perlu diberi peluang menubuhkan konsortium sebagai usaha memecahkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagai agensi tunggal menguruskan industri berkenaan.
Menurut Baharom, kerjasama menerusi konsortium itu juga mampu meningkatkan kualiti padi yang bakal dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Mengambil contoh inisiatif dilakukan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam menguruskan projek membangunkan Smart Sawah berskala besar asnaf, Baharom mengakui usaha itu berjaya meningkatkan pengeluaran padi di negeri berkenaan.
"LZNK beli bendang terbiar yang tidak diusahakan dan beri peluang kepada golongan asnaf untuk menguruskannya. Inisiatif ini perlu disokong, dijadikan sebagai satu model dan perkenalkan ke negeri lain seperti Selangor, Pahang dan Kelantan.
"Selain import, kilang padi juga adalah kartel yang mengawal harga belian daripada pesawah, jadi LZNK terpaksa jual padi pada harga ditentukan kilang yang kebanyakannya dikuasai bangsa asing.
"Oleh itu, kerajaan perlu memberi peluang kepada agensi berdaya maju (dan) sanggup mengambil cabaran seperti LZNK, seterusnya dikembangkan. Beri mereka peluang untuk import beras, buka kilang padi, kilang beras dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan pertemuan bersama Bernas dan pesawah pada Khamis ini bagi membincangkan berkaitan bekalan beras tempatan negara.Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia berikutan tindakan penyelarasan harga beras putih import oleh Bernas sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, cadangan memecah monopoli beras perlu diberi perhatian melibatkan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang seperti terkandung dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Belanjawan 2023.
Beliau berkata, pada ketika ini isu keterjaminan makanan dan kos sara hidup dihadapi rakyat memerlukan penglibatan semua pihak.
"Kenaikan harga beras import meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat termasuk B40, walaupun data inflasi negara sudah menampakkan penurunan.
"Penguncupan sektor pertanian direkodkan suku kedua tahun ini amat membimbangkan. Jadi, di bawah DAN2.0, sejauh mana kemajuan yang sudah dibuat ketika ini dari segi usaha memodenkan sektor pertanian,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca