PADA perbarisan hari merdeka beberapa hari lalu, kelengkapan dimiliki pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipertontonkan tentunya memberi seakan satu jaminan kepada rakyat bahawa angkatan tentera negara memiliki kelengkapan yang... Klik di sini untuk terus membaca

PADA perbarisan hari merdeka beberapa hari lalu, kelengkapan dimiliki pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipertontonkan tentunya memberi seakan satu jaminan kepada rakyat bahawa angkatan tentera negara memiliki kelengkapan yang serba moden dan berkemampuan.

Kelengkapan dan sistem persenjataan seperti kereta kebal dan pesawat tempur yang dibeli bukannya murah. Setelah dimiliki ia juga memerlukan penyelenggaraan berkala yang turut menelan belanja bukan sedikit.

Ini bagi mengekalkan jangka hayat serta keberkesanannya apabila diguna di medan tempur.

Sejak sekian lama, desas-desus bagaimana ada pihak yang mengaut keuntungan tidak munasabah apabila membekalkan kelengkapan dan persenjataan kepada ATM bukanlah sesuatu yang dianggap luar biasa.

Satu kajian diterbitkan dalam Journal of Financial Reporting and Accounting pada Januari 2018 berkaitan laporan ketua audit negara, merumuskan bahawa di negara ini terdapat lima perkara yang menjadi isu mengakibatkan kegagalan sesuatu perolehan secara umum.

Perkara itu ialah tidak mematuhi skop kerja, spesifikasi dan terma kontrak, penangguhan atau kegagalan menyiapkan projek, tahap dokumentasi yang lemah, produk, perkhidmatan dan hasil kerja tidak bermutu serta kelemahan atau kegagalan untuk merancang dengan teliti.

Lebih khusus kepada ATM, perkara sama turut dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutamanya mereka yang pernah berkhidmat dalam organisasi tersebut.

Satu dokumen dihasilkan seorang pesara pegawai kanan tentera darat dan diterbitkan dalam jurnal elektronik rasmi Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia turut mencapai rumusan hampir sama.

Menurut dokumen tersebut, sebahagian besar kegagalan dalam perolehan aset-aset ATM adalah akibat kurangnya ketelusan, kos terlampau tinggi, kelengkapan atau sistem yang tidak efektif atau tidak dikehendaki, kurang atau ketiadaan kesinambungan antara sistem lama dan baharu serta masalah logistik dan penyelenggaraan.

Pada tahun 2022, organisasi anti-rasuah antarabangsa atau Transparency International (TI) telah mengeluarkan indeks anti-rasuah berkaitan perolehan pertahanan.

Daripada 82 negara, Malaysia diletakkan dalam jalur ‘D’, iaitu kategori yang mempunyai risiko tinggi bagi perbuatan rasuah dalam sektor pertahanan dan keselamatan.

Kepimpinan kerajaan hari ini dilihat sedang berusaha menangani masalah yang boleh dianggap sebagai barah yang mesti dihapuskan demi kesejahteraan dan keutuhan kemampuan kesemua cabang ATM.

Pada bulan Jun lalu Perdana Menteri (PM) telah mengingatkan ahli politik atau mana-mana ejen luar agar tidak terbabit dengan keputusan berkaitan perolehan aset ketenteraan.

Beliau menyatakan keputusan profesional untuk perolehan aset seperti pesawat, kapal dan senjata kecil perlu diambil oleh pihak ketenteraan terbabit yang kemudiannya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan kos dan cara perolehan untuk mengelakkan ketirisan.

Pada Julai berikutnya PM menegaskan isu sama dan mahu sistem perolehan aset ATM dirombak bagi memastikan tiada lagi pihak luar akan dapat mengaut komisen yang keterlaluan daripada proses perolehan aset

Beliau berkata, rombakan itu harus dibuat kerana kesiapsiagaan kelengkapan aset pertahanan negara tidak selaras dengan pertumbuhan ekonomi serta kedudukan geopolitik Malaysia.

Cadangan atau gesaan oleh PM dilihat sebagai satu langkah yang amat tepat untuk dilaksanakan.

Ini selepas dalam tempoh beberapa tahun ini pelbagai program berkaitan peningkatan keupayaan agensi-agensi pertahanan dan keselamatan negara telah gagal direalisasikan mengikut kehendak pengguna.

Memburukkan lagi keadaan, pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian dan memberikan bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat yang telah berjaya mendapatkan kontrak pembekalan namun gagal melaksanakannya dalam tempoh ditetapkan.

Syarikat pengeluar atau pembekal tempatan bukanlah satu-satunya pihak yang memberi impak kepada barah ini.

Mengikut laporan TI, penjawat awam tidak jujur kerap memberikan kontrak bukan mengikut kemampuan syarikat yang efektif selain mewujudkan monopoli tidak sihat.

Penggunaan dana kerap disalah guna memandangkan terdapat segelintir penjawat awam yang korup menganugerahkan projek bukan berasaskan merit, tetapi ganjaran rasuah yang diterima.

Persoalannya apakah amaran dan nasihat ditekankan Perdana Menteri untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat benar-benar dihayati oleh segelintir penjawat awam yang selama ini mengaut keuntungan secara haram atau nasihat ini akan masuk telinga kanan dan keluar di telinga kiri.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca