KITA semua baru sahaja menyambut hari ulang tahun kemerdekaan beberapa hari yang lalu. India juga, menyambut bulan kemerdekaannya pada bulan ini, lebih tepatnya pada 15 Ogos.
India lebih 10 tahun awal merdeka daripada negara kita, iaitu pada tahun 1947.
Apabila membayangkan negara India, selalu terbayang di fikiran kita tentang kemiskinan.
Tentang wajah-wajah pengemis yang menghiasi bandar, atau orang yang berasak-asak menaiki kereta api. Itulah yang selalu kita bayangkan.
Tetapi mungkin ramai yang tidak perasan sebenarnya India hari ini tidaklah seperti imaginasi kita.
Ia kini dianggap sebagai kuasa ekonomi baharu dunia, walaupun dalam keadaan tertentu penganggurannya juga tinggi.
Tapi India berjaya mengeluarkan diri daripada kemiskinan dengan pencapaian yang agak luar biasa.
Menurut laporan International Monetary Fund, pada tahun 2005 ada lebih kurang 645 juta orang penduduknya miskin, tetapi berkurang kepada 230 juta orang pada tahun 2019.
Dengan jumlah kira-kira 1.5 bilion penduduk, India kini juga sedang memintas China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia.
Jadi membayangkan India sebagai negara miskin tidak lagi relevan.
Ia mungkin kisah filem Hindi atau Tamil yang kita tonton di televisyen pada tahun 70-an atau 80-an sahaja.
Forbes dalam laporan terbarunya menyenaraikan Mukesh Ambani sebagai orang terkaya di Asia dengan nilai kekayaan sekitar AS$96 bilion dan mengekori di belakangnya ialah Gautam Adani, dengan kekayaan lebih daripada AS$60 bilion juga daripada India.
Dalam senarai 10 orang terkaya di Asia, tidak kelihatan wakil daripada negara kita.
Tiga hari lalu, India telah melancarkan roket Aditya-L1 ke matahari, seminggu selepas menjadi negara pertama menghantar roketnya ke kutub selatan di bulan.
Perjalanan Aditya-L1 ke orbit sejauh 1.5 juta kilometer ini mengambil masa sekitar empat bulan. Ia akan berhenti di satu kawasan Lagrange Point di angkasa.
Tak dapatlah kita orang awam membayangkan apakah sifat dan bagaimana rupanya. Selalunya kita mendengar orang melancar roket ke bulan sahaja.
Entah mengapa, India yang hanya merdeka 10 tahun lebih awal daripada negara kita, yang kebetulannya pula daripada Inggeris begitu cepat maju dan berjaya. Memang jika diukur saiznya, ia negara besar.
Tetapi banyak negara di Afrika dan Timur Tengah juga bersaiz besar, tetapi tidaklah mencapai kemajuan teknologi seperti India. Malah India juga memiliki senjata nuklear.
Cuma dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah, kedudukan kita lebih baik daripada India.
Kita juga, dengan banyaknya universiti yang kita ada, dan sistem pendidikan persekolahan yang dihormati dunia lain, mengapa belum lagi ada kehebatan sebegitu rupa.
Kita sepertinya masih banyak lagi berdebat tentang isu remeh temeh.
Patut atau tidak kita benarkan ada konsert di kawasan kampus, atau isu penggunaan bahasa lain di sekolah vernakular.
Atau kita sedang dibelenggu krisis keyakinan yang perlu kita lakukan sesuatu.
Hendak dikatakan tiada kepakaran, kita sebenarnya ada, atau sekurang-kurangnya kita boleh melatihnya.
Dengan kadar 5.5 peratus perpindahan keluar pekerja kita ke negara luar, atau kira-kira 1.8 juta orang, yang banyaknya ke Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom, mari kita berfikir sejenak apa yang menghambat mereka ke luar.
Tidakkah Malaysia dianggap negara yang mampu memberikan mereka kehidupan yang baik?
Beberapa tahun lepas, negara kita sibuk dengan kereta terbang. Entah apa yang telah terjadi kemudiannya atau mungkin ia sudah terbang begitu jauh hingga kita tak mampu melihatnya lagi.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan untuk semua rakyat Malaysia.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca