BULAN Kemerdekaan sering mengingatkan kita tentang sejarah Tanah Melayu dalam mencapai kemerdekaan daripada British, dan tentunya peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga keamanan pascamerdeka.
Sebetulnya, tentera Malaysia bukan sahaja menjaga keamanan di dalam negara, bahkan terlibat menjaga keamanan di negara luar.
Sejak tahun 1960-an lagi, ATM telah membawa nama Malaysia ke negara-negara bergolak, dari Congo ke Somalia sehinggalah meletusnya Perang Bosnia di Balkan pada tahun 1992.
Malaysia adalah antara negara terawal menghantar pasukan pengaman ke Bosnia Herzegovina walaupun jumlah tentera kita lebih kecil berbanding negara seperti Bangladesh dan Indonesia.
Perang yang berlarutan selama tiga tahun itu mengakibatkan lebih 100,000 jiwa, kebanyakannya orang awam beragama Islam di Bosnia menjadi mangsa peluru tentera dan militan Serbia.
Misi pengaman Malaysia dari tahun 1992 hingga 1998, bermula dengan Malbat I hingga IV dan Malcon I hingga V melibatkan 10,514 pegawai dan anggota.
Kehadiran tentera kita di sana telah menaikkan nama negara sehinggakan rakyat Malaysia yang melancong ke Bosnia dikenali dan diberi layanan baik oleh penduduknya.
Ramai anak-anak Bosnia tahun 1990-an yang kini telah dewasa dan merantau, masih mengenang jasa tentera Malaysia sewaktu perang di tanah air mereka.
Pusat utama operasi tentera Malaysia adalah di Kosovo. Saya berpeluang melawat bandar Kosovo setelah hampir 20 tahun perang tamat.
Kanak-kanak Bosnia pada zaman perang itu sudah melangkah ke alam dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.
Mereka menghidangkan makanan pagi dengan senyuman dan tidak lokek bercerita mengenai zaman perang yang mereka lalui.
Apatah lagi apabila mereka tahu kami dari Malaysia. Perkataan ‘Malaysia Bagus’ tidak lekang dari bibir mereka.
Apabila melawat bandar Kosovo dan melihat struktur topologinya, saya umpama merasai sendiri peluru dari kawasan gunung dan bukit menuju ke bandar ini.
Rasa tidak percaya, peluru dari kawasan pergunungan boleh menembusi badan ibu mengandung yang berada di tengah bandar.
Seorang warga emas menceritakan detik cemas yang berlaku pada pagi bermulanya perang. Katanya, keadaan pagi di bandar Kosovo seperti biasa, riuh dengan perbualan penjual dan pembeli, dan kanak-kanak ke sekolah sehinggalah beberapa orang kelihatan jatuh di jalan raya akibat terkena tembakan.
Keadaan dalam sekelip mata menjadi huru-hara dan mula kedengaran bunyi tangisan anak-anak, jeritan wanita mahupun lelaki.
Mendengar cerita daripada warga emas itu yang saya temui di sebuah masjid telah menginsafkan saya bahawa keadaan selesa yang kita nikmati di Malaysia hari ini boleh berubah dalam sekelip mata jika pasukan keselamatan negara leka dan penduduk tiada pengetahuan tentang cara menyelamatkan diri sewaktu berlaku pergolakan.
Perjuangan tentera Malaysia yang terlibat 'memerdekakan' rakyat Bosnia dari penderitaan sewajarnya menjadi inspirasi kepada generasi muda, iaitu bilangan yang kecil tidak bermakna kita tidak mampu menjalankan misi yang besar, dan betapa besarnya erti sebuah kemerdekaan.
* Dr Askiah Jamaluddin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca