SHAH ALAM - Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mempunyai suara seperti ahli keluarga mereka tetapi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat (FCC) memberi amaran ia mungkin satu penipuan.
"Malangnya, pelakon jahat kini boleh menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara, meyakinkan orang, selalunya orang tua, bahawa orang yang mereka sayangi berada dalam kesusahan,” menurut kenyataan FCC seperti dipetik Washington Post baru-baru ini.
Menurutnya, AI boleh mengambil sampel audio hanya beberapa ayat dan mengubahnya menjadi rakaman audio penuh dengan harga murah. Penipu kemudian boleh membuatnya 'bercakap' apa sahaja yang mereka taip, lapor Washington Post. Di China, AI didapati telah disalahgunakan oleh seorang scammer yang menyamar sebagai ahli perniagaan dan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah jutaan yuan kepadanya.
Mangsa dikenali sebagai Guo menerima panggilan video daripada individu yang kelihatan seperti teman rapatnya.
"Siasatan awal mendapati pemanggil sebenarnya scammer yang menggunakan teknologi AI untuk mengubah wajah dan suaranya,” lapor AFP baru-baru ini.
Difahamkan, Guo dipujuk untuk memindahkan 4.3 juta yuan (RM2.8 juta) daripada akaun syarikat selepas scammer tersebut mendakwa seorang lagi rakan mereka memerlukan wang untuk membayar jaminan kepada tender awam.
Jika anda menganggap ancaman AI hanya berlaku di luar negara, anda silap.
Di Kuala Lumpur, hanya dengan panggilan telefon, seorang wanita hampir memindahkan sejumlah wang kepada lelaki yang mendakwa telah menculik anak lelakinya.
Mangsa yang dikenali sebagai Marlene Zahari menerima panggilan menerusi aplikasi WhatsApp daripada scammer pada Jun lalu yang mengugut akan membunuh anaknya jika tidak mendapat wang tebusan.
Menerusi hantaran di Facebook, Marlene berkata, scammer itu mengetahui namanya menerusi profil WhatsApp, namun tidak memberikan sebarang butiran seperti jantina atau umur anaknya.
"Terdapat bunyi pergelutan dan tangisan serta jeritan di latar belakang, suara seperti anak saya, namun tidak jelas.
"Ketika dia menjerit dan mengugut, saya menghantar mesej kepada anak sulung dan berharap dia masih di sekolah.
"Dia jawab masih berada di sekolah dan turut kelihatan adiknya semasa rehat makan tengah hari,” katanya.
Risiko teknologi AI digunakan untuk tujuan jahat telah dibangkitkan banyak pihak sejak ChatGPT dilancarkan oleh OpenAI pada November 2022.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan Space X, Elon Musk juga pernah memberi amaran bahawa teknologi AI boleh membawa kepada 'kemusnahan tamadun' walaupun Musk sendiri terlibat dalam pembangunan teknologi berkenaan menerusi syarikatnya.
Info kecerdasan buatan (AI)
- Kecerdasan buatan (AI) adalah keupayaan mesin untuk melaksanakan tugas yang biasanya dikaitkan dengan kecerdasan manusia, seperti pembelajaran dan penyelesaian masalah.
- AI mula diasaskan sebagai disiplin akademik pada tahun 1956 sebelum semakin berkembang maju dari tahun ke tahun.
Antara aplikasi AI termasuk:
- Enjin carian web canggih: Contohnya, Carian Google.
- Sistem pengesyoran: Digunakan oleh YouTube, Amazon dan Netflix.
- Memahami pertuturan manusia: Seperti Siri dan Alexa.
- Kereta pandu sendiri: Contohnya, Waymo.
- Alat generatif atau kreatif: ChatGPT dan seni AI.
- Kenderaan autonomi: Termasuk dron, ADAS dan kereta pandu sendiri.
- Terjemahan bahasa automatik: Seperti Microsoft Translator dan Google Translate.
- Pengecaman wajah: Seperti ID Wajah Apple atau DeepFace Microsoft.
- Pelabelan imej: Digunakan oleh Facebook, iPhoto Apple dan TikTok.
Klik di sini untuk terus membaca