HARI ini semakin ramai sudah hilang rasa malu. Kita tidak malu mencaci orang lain dan mempamerkan perangai tidak senonoh, sebaliknya rasa bangga pula melakukan sesuatu yang memalukan diri. Mengapa?
Malu adalah sifat terpuji. Ia salah satu daripada cabang-cabang iman seperti sabda baginda SAW: "Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.”
Sikap malu amat baik kerana ia menghindar seseorang daripada melakukan sesuatu yang mengaibkan. Ia benteng seseorang daripada berbuat perkara memalukan diri dan keluarga, malah masyarakatnya.
Bagaimanapun, sikap masyarakat lebih terbuka kini menganggap perasaan malu itu menggambarkan seseorang yang pasif, lembik dan mudah ‘koyak’. Sebab itu, ada ibu bapa risau melihat anaknya malu-malu apabila berdepan dengan saudara yang baru ditemuinya.
Anak itu akan dipaksa segera menyesuaikan diri dengan saudara itu. Padahal, kanak-kanak secara alaminya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang asing baginya.
Ketika membesar, kita diasuh untuk rasa malu dengan kekurangan diri. Kita diajar rasa malu apabila tak pandai, malas atau jahat. Ibu bapa dan guru yang mengajar mempamerkan perilaku baik serta mengajar nilai-nilai murni. Selain berani, bertanggungjawab dan amanah, sikap malu juga diterapkan kepada kita.
Apabila dunia penyiaran mula diperkenalkan, golongan artis seperti penyanyi dan pelakon telah menjadi rujukan. Profesion berlakon berkehendakkan seseorang mengetepikan rasa malu dan kita kagum serta menyanjung mereka kerana boleh mengetepikan perasaan itu.
Dunia media sosial hari ini banyak bergantung kepada skrin – skrin telefon, komputer, televisyen dan layar perak. Ia bukan sahaja memberi ruang dan peluang kepada kita menonton lebih banyak aksi pelakon, malah memperkenalkan kita kepada ahli perniagaan, pengacara dan paling penting ialah pempengaruh. Mereka mula menghuru-harakan perasaan dan pertimbangan rasional kita.
Dalam pada itu, dunia media sosial juga telah memberi peluang kepada netizen turut beraksi sama di depan kamera. Ertinya, kita mula belajar tidak berasa kekok dan malu beraksi di hadapan kamera. Boleh dikatakan semua orang termasuk datuk dan nenek pun sudah tidak malu-malu lagi beraksi.
Namun, keseronokan berlakon di media sosial telah menjadikan kita tidak malu lagi mempamerkan kekurangan kita. Media sosial dijadikan tempat melepas perasaan. Tanpa malu, kita membuka aib masalah rumah tangga kepada netizen, kononnya atas nama healing.
Kita kongsi segala keburukan orang untuk suka-suka tanpa kita ingat kita akan merangkak mencari orang yang dipersendakan itu bagi meminta maaf di Padang Mahsyar kelak. Malah, kini ramai menayangkan live sedang terbongkang tidur semata-mata mahu menaikkan tontonan.
Kecanggihan kamera telefon membolehkan keadaan biasa-biasa diubah menjadi lebih ‘beraura’. Maka, pertemuan kita di sebuah kedai kopi usang menjadi kafe yang klasik. Kopi biasa pada pandangan mata kasar menjadi begitu menguja di lensa kamera hingga boleh kita terhidu baunya. Maka, minum kopi kosong waktu petang di sebuah kedai kopi usang boleh menimbulkan rasa iri hati orang lain kerana mereka tidak dapat apa yang kita ada.
Walhal, mungkin keadaan dia lebih baik bila dapat minum kopi di beranda rumah. Oleh sebab hidup kita berselang-seli antara dunia realiti dan dunia buatan kamera, kita hilang kesedaran daripada dunia realiti. Kita ingat kesemua itu adalah lakonan.
Dalam dunia lakonan, kesemua babak lakonan tersebut akan berlalu. Kerana itu, kita pun pada mulanya keliru apabila seorang ahli politik yang serius boleh terkinja-kinja menari. Orang politik itu tidak rasa malu kerana ia adalah sebuah lakonan untuk netizen.
Biasalah, sebab semua orang melakukannya. Akhirnya kita tidak rasa pelik dan malu menontonnya kerana menganggap ia normal tetapi yang menjadi kebimbangan, jika seseorang itu telah hilang malu melakukan kesalahan.
Malah, pada hari ini terdapat mereka yang menyalahkan orang yang mengkritik kesalahannya. Entah di mana letak akal budinya sehinggakan orang menegur kesalahan itu pula yang rasa malu.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca