GENEVA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin merayu dana bantuan untuk menangani kebanjiran pelarian Sudan yang semakin meruncing.
Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan ia bersama rakan kongsi mereka memerlukan kira-kira AS$1 bilion (RM4.7 bilion) untuk menyediakan perlindungan dan bantuan penting kepada lebih 1.8 juta pelarian di lima negara jiran Khartoum menjelang akhir tahun ini.
"Jumlah itu menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding anggaran awal untuk bertindak balas terhadap krisis tersebut pada Mei lalu,” jelas agensi itu dalam satu kenyataan.
Sebelum ini ia memerlukan dana berjumlah AS$445 juta (RM2.1 bilion) bagi mengendalikan krisis tersebut.
Konflik bersenjata yang tercetus akibat perebutan kuasa antara dua jeneral pada 15 April lalu dan meragut sekurang-kurangnya 5,000 nyawa telah menyaksikan penghijrahan luar biasa yang dikhuatiri membebankan negara-negara jiran Sudan.
Data PBB mendapati jumlah golongan itu telah mencecah lebih sejuta orang.
"Pelarian yang tiba di kawasan sempadan terpencil berdepan beberapa isu seperti perkhidmatan tidak mencukupi, infrastruktur lemah dan akses yang terhad.
"Rakan kongsi yang terlibat tindak balas ini berusaha sedaya upaya memberi sokongan kepada golongan berkenaan dan negara yang menjadi tuan rumah mereka. Namun, tanpa sumber dana, usaha itu pasti akan gagal,” kata Penyelaras Pelarian Serantau UNHCR bagi Situasi Sudan, Mamadou Dian Balde.
Jelasnya lagi, hanya 19 peratus daripada jumlah rayuan dana yang diminta telah diterima setakat ini.
Difahamkan, ia akan digunakan untuk menyediakan keperluan kritikal seperti bekalan air, makanan dan tempat perlindungan yang lebih selesa.
Menurutnya, UNHCR juga memandang serius masalah kesihatan seperti malnutrisi dan penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pelarian tersebut.
"Kami berasa amat kesal apabila menerima laporan kematian kanak-kanak akibat penyakit yang sebenarnya boleh dirawat,” tambahnya lagi.
Negara jiran Sudan seperti Republik Afrika Tengah, Chad, Mesir, Ethiopia dan Sudan Selatan dilaporkan sudah menjadi tuan rumah kepada ratusan ribu pelarian dari Khartoum sebelum konflik bersenjata itu tercetus.
"Negara berkenaan telah berdepan krisis dalaman dan terpaksa menggalas tanggungjawab tambahan. Kita tidak boleh mengambil mudah.
Komuniti antarabangsa perlu berganding bahu membantu negara-negara itu menangani kekurangan dana bagi operasi kemanusiaan,” ujarnya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca